Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang sepatutnya diteruskan hari ini dengan keterangan saksi kanak-kanak terpaksa ditangguhkan pada hari Isnin.
Perkara itu dimaklumkan oleh Mahkamah Koroner susulan terdapat dakwaan kebocoran maklumat membabitkan saksi kanak-kanak terbabit.
Memetik sumber Harian Metro, Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap kebocoran maklumat itu kerana telah menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10 hari ini.
“Saya rasa ini juga satu peringatan yang mesti saya berikan kepada orang awam, apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan perjalanan inkues.
“Inilah yang berlaku hari ini. Sekarang saksi berasa terancam akibat tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. Saya tidak tahu siapa.
“Saya amat kecewa tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung pada Isnin,” katanya.
Artikel berkaitan: Kak M & Kenyataan Ketua Warden Jadi Tumpuan: Berikut Rangkuman Inkues Zara Qairina Semalam
Artikel berkaitan: Saksi Dakwa Guru Jumpa 15 Helai Kertas Diari Di Rak Buku Dalam Kelas Zara Qairina
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak peguam yang mewakili saksi kanak-kanak itu, Datuk Ram Singh membuat laporan polis agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyebarkan kenyataan berkenaan.
Beliau yang mewakili saksi kanak-kanak dirujuk sebagai Pelajar A, mendedahkan bahawa maklumat berkenaan sudah tular sebelum dibentangkan di Mahkamah Koroner.
Pihaknya menyatakan kekecewaan kerana segala persiapan yang dilakukan akhirnya terjejas selepas kenyataan saksi bocor.
Katanya, dua perenggan awal dan perenggan terakhir yang memerlukan tandatangan telah tersebar di media sosial.
“Saya simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka terpaksa melalui situasi ini,” katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak itu menangis apabila ditanya sama ada dia mampu memberi keterangan hari ini.
Terdahulu, Koroner turut memanggil semua barisan peguam terlibat bagi membincangkan isu berkenaan, termasuk penularan nama pelajar lain yang dijadualkan tampil memberi keterangan pada prosiding akan datang.
Sumber: Harian Metro