Seorang wanita di Taiwan dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah menggunakan cap jari seorang lelaki yang telah meninggal dunia bagi memalsukan dokumen pinjaman bernilai jutaan dolar Taiwan. Tertuduh berusia 59 tahun, dikenali sebagai Li, bertindak nekad memanjat ke atas van jenazah yang membawa mayat lelaki tersebut, Peng, di sebuah pusat pengebumian di Hsinchu, barat laut Taiwan.
Menurut laporan Sinar Harian, perbuatan mencurigakan Li disedari keluarga si mati ketika upacara penghormatan terakhir dijalankan sebelum mereka menghubungi polis. Siasatan mendapati Li dan Peng sebelum ini terlibat dalam pertikaian hutang. Setelah mengetahui Peng meninggal dunia pada 21 Februari lalu, Li bergegas ke rumah mayat membawa dokumen gadai janji palsu dan nota janji hutang bernilai AS$280,000 (RM1.32 juta).
Wanita itu dilaporkan berpura-pura sebagai rakan rapat si mati untuk mendekati mayat sebelum dilihat membuka beg mayat dan menekan jari Peng pada dokumen menggunakan dakwat cap jari. Tindakannya disedari pekerja rumah mayat yang segera memaklumkan kepada keluarga mangsa dan polis menahannya di tempat kejadian. Antara barang bukti yang dirampas termasuk dokumen palsu, cek bank dan pad dakwat.

Li mengaku kepada polis bahawa dia berbuat demikian kerana bimbang tidak dapat mendapatkan semula wang yang pernah dipinjamkan kepada Peng. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya atas kesalahan memalsukan sekuriti, namun hukuman itu digantung selama lima tahun kerana dia mengaku bersalah dan dokumen palsu tersebut belum digunakan.
Selain itu, Li turut diperintahkan membayar denda AS$1,600 (RM7,560) serta menjalani 90 jam khidmat masyarakat. Kejadian luar biasa ini turut menarik perhatian ramai di Taiwan, dengan pengguna media sosial menyifatkan tindakan Li sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Baca: Dokumen Palsu: FAM Bakal Lantik Peguam Antarabangsa Hadapi FIFA