Macam Dalam Filem, Ini Bagaimana Muzium Louvre Di Paris Boleh Dirompak Dalam Masa 4 Minit

8 hours ago 6

Kita selalu tengok kisah rompakan besar-besaran yang lengkap dengan perancangan rapi, pasukan profesional dan detik yang penuh mendebarkan ni dalam filem seperti Ocean’s Eight atau Ocean’s Eleven. Tapi siapa sangka, adegan sebegitu rupa sebenarnya sedang berlaku di dunia nyata iaitu di tengah-tengah kota Paris.

Sebenarnya pun, ramai pelancong pernah terkena dengan kes pickpocket, menyebabkan ramai memberi pesanan untuk sentiasa berhati-hati apabila melancong ke Paris. Tapi apa yang mengejutkan lagi, dalam masa hanya empat minit saja, karya seni yang bernilai jutaan dolar dari salah satu muzium paling dikawal ketat di dunia, lesap dicuri oleh sebuah kumpulan perompak yang tidak dikenali.

Sebelum kita jelaskan bagaimana insiden rompakan Muzium Louvre ini boleh berlaku, mari kita kenali muzium itu sendiri.

Muzium Louvre 

louvre museum istock

Muzium Louvre ini terletak di pusat bandar Paris, Perancis dan merupakan muzium seni terbesar serta paling banyak dikunjungi di dunia. Bangunan megah ini asalnya dibina sebagai istana diraja pada abad ke-12, sebelum ia diubah menjadi muzium pada tahun 1793.

Kini, Louvre menempatkan lebih 35,000 karya seni yang dipamerkan untuk orang awam dengan ratusan ribu lagi tersimpan dalam koleksi arkibnya. Di sinilah terletaknya beberapa karya seni paling berharga di dunia seperti lukisan Mona Lisa karya Leonardo da Vinci, arca Venus de Milo dan arca Winged Victory of Samothrace, di mana tiga karya seni ini menjadi simbol kebanggaan seni Eropah.

Setiap tahun, lebih 8 juta pengunjung datang ke sini untuk menyaksikan sendiri khazanah sejarah dan seni yang telah wujud berabad lamanya, menjadikan ramai terkejut bagaimana rompakan boleh berlaku dalam masa empat minit saja di salah satu tempat paling dikawal di dunia.

Artikel Berkaitan: Lufthansa Heist: Kisah Disebalik Rompakan Filem ‘Goodfellas’, Berjaya Curi US$6 Juta Dari Lapangan Terbang New York – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “The Mafia Queen” – Ini Kisah Sebenar Disebalik Watak Filem Netflix ‘Gangubai Kathiawadi’ – Lobak Merah

Rompakan dilakukan pada siang hari 

tingkat satu muzium

Pagi semalam, suasana di Muzium Lourve tiba-tiba bertukar kecoh apabila sekumpulan perompak berjaya melaksanakan rompakan berani terhadap koleksi permata mahkota Perancis yang tiada tandingan harganya.

Menurut BBC, laporan mendapati bahawa tidak lama selepas muzium dibuka untuk pengunjung luar, terdapat empat suspek tiba di muzium sekitar jam 9:30 pagi iaitu bersamaan dengan jam 4:30 petang di Malaysia.

Mereka menggunakan sebuah kren mekanikal yang dipasang pada kenderaan bagi mencapai balkoni di Galeri d’Apollon, iaitu sebuah ruang pameran yang berhampiran dengan Seini. Sebuah tangga telah dijumpai disandarkan ke arah tingkap di tingkat satu, menjadikan laluan utama kumpulan perompak tersebut.

louvre museum new york times

Dua daripada suspek dipercayai memotong tingkap dengan menggunakan power tools untuk memasuki ke dalam muzium. Setelah berjaya menceroboh, mereka mengugut pengawal keselamatan untuk mengosongkan premis. Dalam masa yang singkat itu, kumpulan perompak tersebut telah memecahkan dua bekas kaca pameran yang menempatkan barangan kemas bernilai tinggi di samping melarikan lapan barangan hak milik muzium yang berharga.

Siasatan awal mendedahkan bahawa satu daripada tiga bilik di kawasan yang dirompak tidak dilengkapi kamera litar bertutup, menyebabkan persoalan besar tentang tahap keselamatan di muzium terkenal tersebut.

Polis Perancis mengesahkan bahawa para perompak hanya berada di dalam muzium selama empat minit sahaja sebelum sempat melarikan diri dengan menggunakan dua buah skuter yang telah sedia menunggu di luar pada jam 9:38 pagi.

Ahli Senat Perancis, Natalie Goulet menyifatkan kejadian tersebut sebagai insiden memalukan bagi negara.

Kami semua berasa kecewa dan marah. Susah untuk faham bagaimana perkara macam ni boleh berlaku dengan begitu mudah,” katanya.

Menteri Kebudayaan iaitu Rachida Dati menjelaskan kepada pihak media bahawa rakaman kamera keselamatan menunjukkan kumpulan perompak tersebut memakai topeng sambil memasuki ke galeri dengan tenang sebelum memecahkan bekas pameran.

Mereka nampak seperti benar-benar berpengalaman. Pelan mereka sangat teratur, siap dengan jalan keluar yang dirancang menggunakan dua skuter,” katanya.

Setakat ini, sekitar 60 penyiasat telah ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut dan pihak pendakwa percaya kumpulan itu berkemungkinan bertindak atas arahan sebuah organisasi jenayah antarabangsa. Pihak polis kini sedang meneliti rakaman CCTV di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan oleh mereka untuk melarikan diri.

Barang yang dirompak 

louvre museum the guardian

Terdapat lapan barangan berharga yang telah dicuri dan kebanyakannya merupakan permata diraja abad ke-19 yang pernah dimiliki oleh kerabat Perancis, daripada maharani (empress), permaisuri hinggalah ratu terakhir negara itu.

Antara koleksi yang dicuri termasuklah mahkota, rantai leher, anting-anting dan kerongsang yang semuanya sarat dengan ribuan berlian dan batu permata. Menurut Kementerian Kebudayaan Perancis, antara barangan yang dicuri adalah:

  • Tiara dan kerongsang milik Empress Eugénie, iaitu isteri kepada Napoleon III
  • Rantai leher zamrud dan sepasang anting-anting milik Empress Marie-Louise, isteri kedua Napoleon I
  • Sebuah sapphire set milik Queen Marie-Amélie dan Queen Hortense, termasuk mahkota, rantai leher dan seutas anting-anting
  • Sebuah kerongsang yang dikenali sebagai ‘reliquary brooch’ 

Kesemua barangan ini bukan sekadar bernilai tinggi kerana ribuan batu permatanya, tetapi juga terdapat nilai warisan sejarah yang tidak boleh digantikan. Perompak ini juga dikatakan dipercayai terjatuh dan meninggalkan mahkota milik Empress Eugénie kerana ditemui dalam keadaan sudah rosak di laluan keluar.

Laporan media antarabangsa juga menyebut bahawa perompak tidak sempat mengambil ‘Regent Diamond’ yang bernilai lebih daripada AS$60 juta iaitu bersamaan dengan RM285 juta. Berlian ini pernah digunakan untuk menghiasi mahkota Napoleon dan disimpan rapi di ruang berhampiran kawasan rompakan.

Insiden ini juga dilaporkan berlaku tidak lama selepas pihak muzium meminta bantuan kerajaan Perancis untuk menaik taraf sistem keselamatan dan membaik pulih dewan pameran yang semakin usang.

Suasana selepas insiden rompakan 

Screenshot 2025 10 21 165707

Lepas saja kejadian rompakan itu berlaku, penggera keselamatan di Muzium Louvre terus berbunyi dan menarik perhatian pengawal keselamatan. Para perompak sempat melarikan diri dengan menaiki skuter serta meninggalkan beberapa peralatan yang digunakan semasa rompakan tersebut.

Kumpulan perompak ini juga dilaporkan cuba untuk membakar kenderaan mereka di luar muzium, tetap usaha itu digagalkan oleh seorang kakitangan muzium.

Seorang saksi di tempat kejadian menjelaskan suasana pada waktu itu sangat panik apabila pengunjung diarahkan untuk keluar dari muzium. Kemudian, tular beberapa gambar menunjukkan pintu masuk utama muzium tersebut telah ditutup dengan pagar besi.

Muzium tersebut dikatakan masih ditutup sehingga hari ini sementara memberi laluan kepada pihak polis menjalankan siasatan terhadap kejadian yang digelar sebagai ‘rompakan paling mengejutkan’ dalam sejarah negara itu.

Sumber: BBC, The Guardian

Sumber: X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |