syaz ft 2025 10 30T103947.394

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) dikhabarkan bakal kembali menyertai UMNO sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka hujung bulan depan.

Menurut sumber, bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini jadi penyampai radio Hot FM itu sudah pun mendapat ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan tertinggi UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel berkaitan: “Korek tabung vaksin le jawabnya” –  Respon Ustaz Abu Syafiq Lepas Diperintah Bayar RM2.5 Juta Kepada KJ

Artikel berkaitan: Umno Pernah Jual Nombor Ekor Untuk Tolong Melayu? Ini Kisahnya…

Difahamkan, Zahid sendiri memberi isyarat restu kepada KJ semasa mereka bertemu di majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.

Menariknya, sumber turut mendakwa KJ kini sedang dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kawasan yang pernah diwakili bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun begitu, setakat ini UMNO masih belum menerima sebarang surat rasmi permohonan daripada KJ untuk kembali ke parti.

Jika betul KJ kembali ke UMNO, langkah itu dijangka akan beri nafas baharu kepada parti, terutamanya dalam usaha menambat semula hati pengundi muda Melayu yang kini semakin jauh daripada parti keramat itu.

Untuk rekod, Khairy dipecat dari UMNO pada Januari 2023 selepas lantang mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen PRU15. Walau bagaimanapun, sejak itu beliau tetap menegaskan bahawa dirinya tidak akan menyertai mana-mana parti lain kerana masih setia dengan UMNO.

Dalam PRU15 lalu, KJ bertanding di kerusi Sungai Buloh kubu kuat Pakatan Harapan (PH). Walaupun tewas, beliau tetap berjaya meraih jumlah undi yang agak besar dan berjaya memecahkan dominasi PH di kawasan tersebut.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.