Polis Kelantan mendedahkan kes rogol dan sumbang mahram di negeri ini berada pada tahap membimbangkan apabila peningkatan kes berlaku setiap tahun, kebanyakannya kerana suka sama suka.
Lebih membimbangkan, kebanyakan mangsa dan pelaku adalah remaja bawah umur seperti yang dilaporkan iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, kejadian itu berlaku minggu lalu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Artikel berkaitan: Polis Dedah Ramai ‘Founder’ Produk Dan Pempengaruh Di Kelantan Terlibat Kegiatan Penggubahan Wang Haram & Pengedaran Dadah
Artikel berkaitan: Ramai Jejaka Pakistan Pilih Nikah Wanita Kelantan, Lelaki Pula Pilih Wanita Thailand – JIM
“Tahun lepas sebanyak 252 kes direkodkan manakala tahun sebelumnya (2023) 206 kes. Tahun ini, dari Januari hingga Mac sudah meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024,” katanya.
Jelasnya, hasil siasatan polis mendapati 98 peratus kes rogol di Kelantan berlaku kerana suka sama suka. Dedahnya lagi, terdapat trend kanak-kanak perempuan ‘mencari’ lelaki.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bukannya pihak polis mahu mendedahkan peningkatan kes rogol di Kelantan, tetapi ingin menekankan masalah sosial yang sedang berlaku di negeri ini.
Tambahnya lagi, punca kes ini berlaku disebabkan faktor seperti konflik keluarga, hubungan cinta, pendedahan kepada video atau gambar lucah, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya, serta penggunaan dadah.
Justeru, beliau berharap ibu bapa serta pihak sekolah tidak cuba menyembunyikan dan melaporkan kes rogol melibatkan sumbang mahram terutama kanak-kanak.
Sumber: Sinar Harian