Polis menahan dua malim gunung (MGP) berhubung insiden seorang pendaki ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang, Perak.
Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari, dua individu berusia 40-an ditahan sebaik polis menerima laporan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) atas kesalahan memasuki hutam simpan tanpa permit di sempadan negeri itu.
Katanya, kumpulan pendaki terbabit hanya memperoleh permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memandangkan kumpulan itu memulakan pendakian di kawasan Bentong, Pahang.
“Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim.
“Jadi tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana mereka ada permit memasuki hutan simpan semasa di kawasan Pahang namun sebaliknya mereka turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak iaitu sebelah Muallim.”
Artikel berkaitan: “Nyawa orang jangan dibuat main” – Netizen Luah Rasa Sedih Tragedi Pendaki Hilang Ditemui M*ut Di Gunung Liang
Jelasnya, kumpulan pendaki yang dibimbing oleh dua malim gunung itu telah memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa permit atau kelulusan yang sah.
Katanya lagi, dua malim gunung berkenaan bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis, dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
“Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka naik untuk ianya tak menjadi kesalahan, tetapi bila kumpulan itu turun di sebelah Muallim (Perak), maka mereka dikira memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit,” katanya.
Terdahulu, seorang pendaki yang dilaporkan hilang sejak 14 Oktober ditemui meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat.
Menurut laporan, mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, mendaki gunung itu bersama 10 rakan lain dari Bukit Fraser, Pahang menuju ke Gunung Liang, sejak 10 Oktober lalu.
Sumber: Harian Metro