Malaysia akan memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi yang dijangka bermula pada November hingga Mac setiap tahun. Ini bermakna, kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi musim hujan lebat, banjir, dan pelbagai masalah jalan raya.
Tapi jangan risau, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dah pun ambil langkah awal untuk memastikan semua orang selamat. Mereka tak tunggu bencana berlaku baru nak bertindak, sebab mereka ada ‘payung’ besar yang dah sedia!
Bayangkan sebuah pusat kawalan utama yang menguruskan semua isu jalan raya — dari jalan berlubang, jalan mendap, cerun runtuh, hingga jambatan rosak. Itulah fungsi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) JKR. BiGBen ini adalah sumber rujukan penting untuk agensi-agensi lain untuk membantu dalam pengurusan bencana yang lebih efisien.
Selain itu, JKR juga sudah menyediakan peralatan khas, iaitu Jambatan Bailey. Total panjang Jambatan Bailey yang disediakan adalah 2,570 kaki untuk kegunaan kecemasan, dan ia disimpan di tujuh buah stor di seluruh negara.
Langkah Proaktif JKR Sebelum, Semasa, dan Selepas Bencana
Sebelum musim banjir bermula, JKR dan syarikat konsesi dah buat macam-macam persediaan:
- Mereka pasang tanda amaran seperti papan tanda sementara, plastic sheeting, dan blinkers di lokasi yang sering dilanda banjir.
- Lokasi yang sering berlaku pokok tumbang atau cerun runtuh juga telah dikenal pasti.
- Stok ‘coldmix’ untuk tampal jalan berlubang pun dah disiapkan supaya tak kehabisan bahan.
- Longkang di kawasan bermasalah juga akan dibersihkan lebih kerap.
Artikel berkaitan : Dituduh Rosakkan Ekosistem, Ini Sebab Penduduk Korek Pasir Untuk Buat Laluan Air Ke Pantai
Artikel berkaitan : “Air dah makin deras…” – Wartawan Pakistan Hanyut Ketika Liputan Banjir, Detik Cemas Dirakam Secara Langsung
Apabila bencana berlaku, mereka akan bertindak dengan pantas antaranya:
- Papan tanda sementara akan diletakkan di lokasi banjir sebagai amaran kepada pemandu.
- Pasukan pemantau akan memantau paras air.
- Jika ada pokok tumbang atau cerun runtuh pula, mereka akan bersihkan dengan segera dalam tempoh yang ditetapkan.
Selepas bencana reda pula, JKR akan kenal pasti jalan atau struktur yang rosak untuk kerja-kerja pembaikan.
Tips untuk Anda!
Sebelum anda mulakan perjalanan, terutamanya musim hujan ini, jangan lupa semak keadaan jalan dulu. Korang boleh guna platform-platform ni:
- Laman Pengurusan Bencana JKR Malaysia: bencana.jkr.gov.my
- Aplikasi eBencana JKR (ada di AppStore dan Google Play)
- Facebook BiGBen – Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia
Ingat, keselamatan adalah tanggungjawab bersama! Jadi, pastikan anda sentiasa berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga.