Ini 7 Lokasi Sambut Tahun Baharu 2026 Yang Menarik Sambil Tengok Pertunjukan Bunga Api Percuma

2 days ago 23

Tak sangka betul yang hari esok akan menjadi hari yang terakhir sebelum tahun 2025 melabuhkan tirainya. Pejam celik, tahu-tahu kita sudah menghampiri ke penghujung cerita buat tahun 2025.

Menjelang detik peralihan ke tahun baharu 2026, pasti ramai akan merasakan debaran yang lebih istimewa semasa menanti jam berdetik ke angka dua belas.

Dan pasti ramai yang akan mengambil peluang ini untuk berkumpul bersama insan tersayang untuk meraikan permulaan baharu sambil menonton pertunjukan bunga api.

Jadi, berikut adalah senarai lokasi meriah yang akan membuat pertunjukan bunga api serta persembahan konsert secara percuma!

Artikel Berkaitan: Takut Anak Bosan? 5 Aktiviti Menyeronokkan Yang Korang Boleh Buat Sepanjang Cuti Sekolah Ni! – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Ini 8 Isu Selebriti Malaysia Yang Paling ‘Trending’ Di Media Sosial Tahun 2025 – Lobak Merah

1. Pavillion Kuala Lumpur 

pavillion

Menjelang 2026, Malaysia bakal menggerakkan kempen Visit Malaysia 2026 yang bertujuan menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Sambutan tahun baharu 2026 di Pavillion Kuala Lumpur pula dipilih sebagai antara pentas terawal yang memulakan kemeriahan kempen tersebut.

Detik ambang tahun baharu 2026 ini juga akan diserikan dengan pertunjukan bunga api yang seiring dengan pertunjukan cahaya laser serta persembahan visual 3D yang menampilkan maskot rasmi Visit Malaysia 2026.

Selain itu, Pavillion Kuala Lumpur yang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut membawakan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan daripada artis tempatan sepanjang malam.

Jadi sepanjang acara, korang juga boleh menikmati pameran seni dan budaya yang disediakan di bazar khas Visit Malaysia 2026.

2. Esplanade, KLCC Park 

klcc

Sebagai lokasi ikonik dan kebanggaan rakyat Malaysia, sudah tentu KLCC turut tidak ketinggalan dalam memeriahkan sambutan tahun baharu 2026 menerusi acara Rhythm of KLCC 2026 di Esplanade, KLCC Park.

Memang tidak dinafikan yang KLCC Park sememangnya selalu menjadi tumpuan utama setiap kali sambutan tahun baharu di bandar Kuala Lumpur.

Jadi boleh dikatakan hampir setiap tahun, kawasan Esplanade akan dipenuhi dengan ramai orang yang ingin menyambut tahun baharu. Oleh itu, lokasi ini adalah antara lokasi yang paling meriah untuk merasai suasana countdown tahun baharu.

3. IOI City Mall, Putrajaya 

ioi konsert

Selain di kawasan Kuala Lumpur, IOI City Mall di Putrajaya juga bakal menganjurkan Konsert Countdown KITA 2026 yang akan memeriahkan suasana sekitar Putrajaya.

Acara ini akan menampilkan konsert berskala besar dengan pelbagai persembahan daripada barisan artis tempatan seperti Faizal Tahir, Hael Husaini, Ella dan ramai lagi bagi memeriahkan lagi malam sambutan tahun baharu 2026.

Selain persembahan konsert, korang sudah tentu boleh menikmati pertunjukan bunga api yang akan menerangi langit malam di Putrajaya nanti. Tapi, korang digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan kesesakan lalu lintas dijangka akan berlaku.

4. Encore, Melaka 

melaka new year

Menariknya, sambutan kali ini di negeri Melaka agak berbeza berbanding acara tahun baharu di lokasi lain. Antara yang tarikan yang disediakan adalah seperti pertunjukan aksi tentera darat, laut dan udara secara langsung oleh Rejimen Gerak Khas, menjadikan orang Melaka akan menikmati pengalaman sambutan tahun baharu lebih unik dan menarik.

Selain itu, orang ramai juga akan dapat menyaksikan persembahan konsert dari artis tempatan serta pertunjukan bunga api yang meriah di Encore.

Namun, orang ramai juga disarankan untuk merancang perjalanan sebaik-baiknya sebab kesesakan lalu lintas sangat mudah untuk berlaku di lokasi tersebut.

5. Bulatan Sultan Azlan Shah, Perak 

perak

Negeri Perak juga tidak ketinggalan dengan menganjurkan sambutan tahun baharu 2026 dengan penuh kemeriahan.

Sambutan Malam Tahun Baharu di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru turut bakal membawakan pelbagai persembahan menarik untuk para pengunjung.

Antara yang korang boleh nantikan termasuklah persembahan kebudayaan pelbagai kaum, gerai makanan dan minuman, sesi meet and greet bersama maskot pelancongan negeri Perak serta tidak dilupakan juga pertunjukan bunga api yang dinanti-nantikan oleh semua orang.

Selain itu, korang juga akan dapat nikmati persembahan nyanyian daripada artis tempatan seperti Afieq Shazwan dan Siti Nordiana. Acara ini dijadualkan untuk berlangsung pada malam Rabu, 31 Disember 2025 dan bermula pada pukul 8 malam hingga 12.30 malam.

6. Kucing Waterfront, Sarawak 

sarawakk

Orang di Sarawak pun boleh sambut ambang tahun baharu dengan meriah melalui acara Sarawak Countdown 2026 di Kuching Waterfront.

Acara ini bakal mebawakan pengalaman hiburan yang penuh meriah buat penduduk di Sarawak sebab ianya akan digegarkan oleh persembahan barisan artis yang cukup hebat dan menarik.

Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan nyanyian ialah Judika, Dayang Nurfaizah, KRU dan ramai lagi. Dengan suasana meriah dan aktiviti hiburan yang menarik, Sarawak Countdown 2026 pastinya akan menjadi lokasi tumpuan yang meriah bagi korang yang berada di Sarawak.

7. Dataran Penggaram, Batu Pahat, Johor

batu pahat

Kali ini, Batu Pahat akan menjadi tumpuan dengan sambutan tahun baharu menerusi acara “Meh Lah Batu Pahat” yang berlangsung selama 5 hari iaitu dari 31 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026.

Dengan tempoh yang panjang ini, korang boleh pilih hari yang paling sesuai untuk hadir sambil menikmati persembahan daripada artis tempatan seperti Rabbani, XPDC, Zamani Slam dan ramai lagi.

Selain itu, korang juga akan dapat nikmati pertunjukan bunga api yang pasti akan menyinari langit Johor pada malam detik peralihan tahun baharu nanti.

Sambutan yang meriah ini tentunya memberi peluang kepada semua untuk merasai tahun baharu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan.

Sumber: Malay Mail, eCentral

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |