Ibu Zara Qairina Tolak Bedah Siasat Walaupun Sudah Diberi Penjelasan – Saksi

9 hours ago 5

Inkues kematian remaja Zara Qairina Mahathir diteruskan lagi hari ini, Mahkamah Koroner dimaklumkan ibu Allahyarham memutuskan untuk tidak menjalankan bedah siasat ke atas jenazah anaknya, walaupun sudah diberi penjelasan mengenainya.

Dr Logaraj Ratha, 33 tahun, dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HEQ), berkata memandangkan tiada isu dibangkitkan, pihak hospital menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada ibunya, Noraidah Lamat, sejajar dengan polisi hospital dan jabatan.

“Selepas menerima pengesahan daripada Noraidah untuk menolak bedah siasat, saya menyerahkan Borang Penolakan Bedah Siasat Atas Permintaan Sendiri kepadanya.

Saya menerangkan kandungan dokumen itu dan bahagian yang perlu diisi.

Saya juga memaklumkan kepadanya tanpa bedah siasat, pihak keluarga tidak boleh membuat sebarang tuntutan atau memperoleh laporan rasmi bedah siasat daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital pada masa depan,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, saksi ketujuh dalam inkues Zara Qairina itu berkata, Noraidah mengisi perenggan pertama serta maklumat dalam bahagian pengenalan/tandatangan penuntut mayat dalam borang itu.

Artikel berkaitan: Saksi Dakwa Zara Qairina Dituduh Curi Duit Sebelum Kejadian

Artikel berkaitan: Bekas Guru Besar Ugut Pakar Patologi Kes Zara Qairina Didakwa

Menurutnya, kakak iparnya, Nur Shira Abdullah, turut mengisi maklumat sebagai saksi dan menandatangani dokumen itu.

“Saya menandatangani dokumen itu sebagai doktor yang mengendalikan kes ini. Noraidah mengesahkan beliau memahami penjelasan dan kandungan surat itu yang sudah lengkap diisi dan ditandatangani,” katanya.

Terdahulu, Dr Logaraj memaklumkan pada jam 5 petang, 17 Julai, beliau dimaklumkan mengenai satu kematian di Wad Bedah Saraf HQE yang tertakluk kepada siasatan polis.

“Skop perkhidmatan ini merangkumi pengambilan, pendaftaran, penyimpanan, dan pelepasan mayat dari wad atau Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada waris.

Semua kematian di HQE mesti melalui Jabatan Perubatan Forensik sebelum diserahkan kepada keluarga, selaras dengan dasar operasi jabatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Perkhidmatan Perubatan Forensik Malaysia,” katanya.

Beliau juga sudah menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Yew Zhung dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Inspektor Wong memaklumkan beliau sudah bertemu Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Bedah Saraf.

Dr Pavankumar mengesahkan punca kematian Zara Qairina ialah kecederaan otak traumatik yang teruk bersama ensefalopati iskemik hipoksia.

Inspektor Wong juga memberitahu beliau akan merujuk kepada pihak atasan sebelum memberikan maklum balas lanjut,” katanya.

Beliau kemudian dimaklumkan oleh Inspektor Wong polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61, iaitu Borang Permintaan Bedah Siasat.

“Justeru, hospital boleh menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada keluarganya tanpa menjalani bedah siasat perundangan (medico-legal).

Untuk proses pelepasan mayat, saya menerima surat kebenaran atau pelepasan daripada Inspektor Wong supaya jenazah diserahkan kepada Noraidah tanpa perlu melalui proses bedah siasat perundangan.

Saya kemudian bertemu dengan ibu kandung Zara Qairina, Noraidah, dan seorang ahli keluarga lain, Nur Shira Abdullah yang juga kakak iparnya.

Saya memaklumkan kepada Noraidah pihak polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61.

Saya juga cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara. Saya menjelaskan kepada Noraidah, disaksikan oleh Shira, mengenai keperluan dan kepentingan menjalankan bedah siasat.

Walaupun Borang Pol. 61 tidak dikeluarkan oleh pihak polis, bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan, tertakluk kepada persetujuan waris terdekat.

Namun, Noraidah memilih untuk tidak menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina, walaupun penjelasan sudah diberikan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |