Seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada darah daging sendiri akhirnya menerima pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 39 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual hari ini.
Hukuman berat itu diputuskan oleh Hakim Datin M. Kunasundary terhadap tertuduh yang berusia 46 tahun selepas lelaki itu membuat pengakuan bersalah ke atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.
Artikel berkaitan: “Dah dihujung usia” – Atuk Mengaku Salah R*gol Cucu, Dipenjara 33 Tahun, 14 Sebatan
Artikel berkaitan: Remaja 15 Tahun Didakwa Jadi Mangsa R*gol & Rompak Ketika Sedang Jogging
Mengikut pertuduhan, bapa durjana tersebut didakwa melakukan perbuatan keji berkenaan dalam tiga kejadian berasingan iaitu sekitar awal 2024, penghujung 2024, dan Jun lalu. Kesemua tindakan terkutuk itu dilakukan antara jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari.
Disebabkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan yang disabitkan.
Kantoi Selepas Bawa Anak Ke Hospital
Berdasarkan fakta kes, penderitaan yang ditanggung oleh remaja malang itu akhirnya terbongkar selepas satu tindakan tertuduh yang membawa padah kepada dirinya sendiri. Lelaki itu telah membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan kesihatan, namun pemeriksaan perubatan mendapati mangsa sebenarnya telah hamil enam minggu empat hari.

Rentetan daripada penemuan mengejutkan itu, seorang pegawai perubatan bertindak membuat laporan polis pada jam 9.07 malam, 18 Jun lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut yang menyatakan mangsa telah dipaksa melakukan hubungan seksual dengan bapanya sendiri sejak berusia 12 tahun sehingga mengandung.
“Kelakuan Tertuduh Ibarat Haruan Makan Anak”
Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani, manakala tertuduh pula memilih untuk tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Kunasundary menjelaskan bahawa mahkamah ada mengambil kira faktor pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh pada hari pertama dia dihadapkan ke mahkamah. Bagaimanapun, beliau menegaskan penderitaan mendalam yang dilalui mangsa sejak kecil adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.
“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah.
Namun kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yang amat keji dan penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh adalah ibarat haruan makan anak,” tegasnya hari ini.
Selain daripada hukuman utama berupa penjara dan sebatan, mahkamah turut mengenakan perintah tambahan ke atas tertuduh. Dia diarah untuk menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh berada di dalam penjara, selain diletakkan di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun sejurus selepas selesai menjalani hukuman kelak.
Sumber: Kosmo!

10 hours ago
13






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















