Dunia bola sepak tempatan dikejutkan hari ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengunduran berskala besar melibatkan pengurusan tertinggi dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.
Melalui satu siaran media rasmi, FAM mengesahkan bahawa kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend (Rob Friend), serta Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, telah ditamatkan atas persetujuan bersama.
Artikel berkaitan: “Mampu kembalikan kredibiliti badan induk” – Presiden KLFA Yakin Sentuhan TMJ Diperlukan Untuk ‘Reset’ FAM
Artikel berkaitan: Lambat Mulakan Perlawanan, AFC Denda FAM Lebih RM50,000
Penamatan kontrak Rob Friend dilaporkan telah berkuat kuasa lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026. Malah, rombakan ini turut mengheret sama barisan kejurulatihan skuad senior.
Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski, bersama dua tonggak staf teknikalnya, Matthew Smith dan Seiya Imazaki, juga sah melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa 16 Jun 2026.
Skuad B-23 Turut Terkesan
Bukan setakat skuad senior, kempen skuad bawah 23 tahun (B-23) negara juga menerima tempias yang sama.
FAM memaklumkan bahawa pengendali skuad B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain, bersama jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin, turut meninggalkan entiti bola sepak negara atas persetujuan bersama berkuat kuasa 15 Jun 2026.
Dalam kenyataan yang sama, badan induk bola sepak negara itu menzahirkan rasa hormat terhadap keputusan yang telah dicapai dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan semua pihak yang terlibat.
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan,” tulisnya.
Bagi mengelakkan persiapan pasukan kebangsaan terganggu, FAM kini sedang giat mengambil langkah sewajarnya untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan kritikal tersebut dengan kadar segera. Sebarang perkembangan lanjut mengenai pelantikan baharu akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sumber: FAM

12 hours ago
14






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















