syaz ft 2025 10 17T170015.470

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, digantung tugas serta-merta berikutan siasatan yang sedang dijalankan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, menerusi satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, sebentar tadi.

Artikel berkaitan: “Macam Mana Semua Ni Boleh Jadi?” –  Kronologi Penuh Isu FIFA Denda FAM Atas Kes Pemalsuan Dokumen Pemain

Artikel berkaitan: Isu Pendedahan Asal Usul Sebenar 7 Pemain Warisan Oleh FIFA, FAM Anggap Dakwaan Tidak Tepat – Tidak Adil

Menurut beliau, keputusan penggantungan itu dibuat sebagai langkah segera bagi memastikan proses siasatan berjalan dengan telus dan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

“Berhubung kes FIFA, Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Sivasundaram turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut bukan satu hukuman, sebaliknya langkah sementara untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa bebas menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap isu berkenaan.

“Penggantungan itu bagi membolehkan badan bebas melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit,” tambahnya lagi.

Difahamkan, siasatan itu berkisar kepada status kelayakan tujuh pemain berdarah campuran yang mewakili skuad kebangsaan, susulan aduan rasmi yang diterima oleh FIFA baru-baru ini.

Sebelum ini, FIFA mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan berikutan beberapa dokumen dikatakan menimbulkan kekeliruan hingga mendorong FIFA meminta penjelasan lanjut daripada FAM berhubung kesahihan status pemain terbabit.

FIFA turut mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.