Atuk Rogol Cucu 33 Tahun Penjara

Seorang lelaki warga emas telah mengaku salah atas pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya berusia 12 tahun dan sembilan tahun.

Pesara berusia 67 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Muar, Mohd Khairi Haron terhadap lima pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucunya yang berusia 12 tahun selain merogol mangsa di sebuah rumah di Batu Pahat antara Januari hingga Disember tahun lalu.

Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di rumah yang sama dalam tempoh berkenaan.

Artikel berkaitan: Desakan Ibu Bongkar Anak 13 Tahun Dir*gol Atuk, Warga Emas 67 Tahun Direman

Artikel berkaitan: Atuk Mengandungkan Cucu Sebelum Cuba Gugurkan Kandungan Guna ‘Hanger’ Baju

Bagi kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, manakala pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.

Menurut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada ibu mereka sebelum laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tahanan selain pengawasan polis selama tiga tahun sebaik selesai hukuman.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.