tng ewallet

Bekas juruwang pasar raya dikenakan 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung mesin terminal pin Touch ‘n Go (Tng) eWallet milik pasar raya berjumlah hampir RM600,000.

Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai pekerja di pasar raya di Kepong yang diamanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya berkenaan, telah menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch ‘n Go eWallet milik tertuduh, antara 7 Jan 2023 hingga 9 Julai 2024.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dibacakan pertuduhan tersebut.

Artikel berkaitan: Penjawat Awam Direman 5 Hari Gara-gara Seleweng Tanah Untuk Anak Sendiri

Artikel berkaitan: Panik Diserbu SPRM, Suspek Nekad Bakar Wang Tunai RM 1 Juta

WhatsApp Image 2025 09 18 at 17.55.31 61b0654b 600x399 1

Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Nur Atiqah didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke akaun bank miliknya dan beberapa akaun Tng eWallet adik-beradik serta rakan-rakannya.

Semua 14 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia Bukit Aman sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.