Polis mengesahkan punca kematian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang terjatuh dari bangunan Blok Zainab, Kolej Kediaman 13 semalam adalah akibat kecederaan parah di kepala dan dada selepas jatuh dari tempat tinggi. Bedah siasat turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau kesan jerutan pada tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, proses bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula jam 10 malam dan selesai sekitar jam 3 pagi. Hasil pemeriksaan mendapati kematian mangsa, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, berpunca sepenuhnya daripada impak jatuh dari tempat tinggi tanpa sebarang petunjuk kepada perbuatan khianat.
Menurut beliau, mayat pelajar berkenaan akan dituntut oleh ahli keluarga pada pagi ini bagi urusan pengebumian. Pihak polis juga menegaskan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan untuk melengkapkan laporan rasmi.
Pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam dari Akademi Pengajian Islam UM itu ditemui terbaring di lantai bawah bangunan berkenaan sekitar jam 3.15 petang semalam sebelum dikejarkan ke PPUM bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, Ahmad Arif disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Pihak pengurusan UM dalam kenyataan berasingan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan komitmen untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang terkesan dengan insiden itu.
Sumber: Buletin TV3
Baca: Penuntut Universiti Malaya Maut, Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan Kolej Kediaman