Bapa kepada penyanyi popular tanah air, Khai Bahar, iaitu Baharuddin Bakri, dilaporkan meninggal dunia malam tadi.
Berita hiba dan dukacita itu dimaklumkan pengurus Khai, Rizal atau lebih dikenali sebagai Jai, menerusi hantaran di Instagram Story yang menzahirkan ucapan takziah serta doa buat arwah. Khai, 31, turut berkongsi perkembangan berkenaan di akaun Instagram peribadinya awal pagi tadi.
Menurut penyanyi kelahiran Perlis itu, jenazah arwah bapanya akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Tok Paduka, Kangar. Namun, beliau tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai punca kematian.
Pemergian ini sekali lagi menguji Khai selepas beliau kehilangan ibunya, Allahyarhamah Rosnah Muhammad, pada 2 Januari 2024, juga di Kangar. Peminat dan rakan artis di media sosial turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham Baharuddin ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Astro Awani