Perlawanan Piala Rusia antara Zenit St Petersburg dan Akhmat Grozny mencetuskan insiden luar biasa apabila pemain Akhmat, Nader Ghandri, dipanggil semula ke padang selepas keputusan layangan kad merah dibatalkan melalui semakan VAR.
Pertemuan di Gazprom Arena itu pada mulanya menyaksikan Ghandri, 30, diarah keluar padang pada minit akhir perlawanan. Tindakannya membuka jersi dan melemparkan kepada penyokong Grozny menandakan dia menerima hukuman itu sebelum menuju ke bilik persalinan.
Namun, VAR campur tangan dan memanggil pengadil untuk menyemak semula insiden berkenaan. Keputusan berubah apabila kad merah ditarik balik, dan pemain Tunisia itu diarahkan kembali ke dalam padang.
Ghandri kemudian terpaksa meminta kembali jersinya daripada penyokong yang menerimanya. Nasib menyebelahinya apabila penyokong tersebut menyerahkan semula jersi berkenaan.
Walaupun Ghandri berjaya menjaringkan gol untuk Akhmat Grozny, Zenit St Petersburg tetap muncul pemenang dengan keputusan 2-1 di hadapan penyokong sendiri.
Sumber: The Sun
Baca: Terpaksa Meniarap Tengah Padang, Perlawanan Bola Sepak Terhenti Seketika Kerana Diserang Lebah