syaz ft 2025 10 21T123309.407

Polis Kelantan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat beberapa madrasah tidak berdaftar di negeri itu yang dipercayai dijadikan pusat bagi aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai perkara berkenaan dan siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan tersebut.

Artikel berkaitan: “Nak bina masjid kecil, pusat tahfiz” –  Nabil Ahmad Tunai Hajat Ibu Jadikan Rumah Pusaka Sebagai Madrasah

Artikel berkaitan: 3 Mangsa Terjatuh Ke Dalam Sungai Kelantan Lepas Jeti Tambatan Diraja di KB Runtuh

Menurut beliau, terdapat individu terutama pengasas produk yang sanggup menyalurkan sumbangan dalam jumlah besar sehingga mencecah jutaan ringgit kepada madrasah tertentu kononnya sebagai usaha mendapatkan doa atau ganjaran akhirat.

 “Hasil perbincangan polis dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), kita dapati banyak madrasah yang tidak berdaftar dan boleh dikatakan separuh daripada jumlah madrasah di Kelantan tidak berdaftar.

Kita bimbang madrasah berkenaan dijadikan lokasi pengubahan wang haram sebab kita mendapat maklumat banyak pengasas luar dari Kelantan datang melabur sehingga mencecah RM2 juta untuk meminta doa selain sebagai saham akhirat,” katanya.

Tambahnya lagi, hasil maklumat yang diterima menunjukkan kegiatan itu melibatkan beberapa madrasah dan pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud elemen penyalahgunaan tujuan asal institusi agama berkenaan.

“Berdasarkan maklumat kita, ia membabitkan beberapa madrasah dan kita bimbang berlaku kegiatan pengubahan wang haram,” katanya.

Mohd Yusoff turut menjelaskan, faktor kewangan mungkin menjadi sebab mengapa sebahagian pondok di negeri itu enggan berdaftar dengan MAIK.

“Ada yang melabur sehingga berjuta-juta mungkin terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub.

Situasi itu seperti Ayah Pin yang baru, budak sampai taksub sehingga tak mahu balik rumah walaupun dijemput ibu bapa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya pihak yang ingin menyalurkan sumbangan atau pelaburan kepada madrasah, supaya terlebih dahulu menyemak status pendaftaran dan tauliah institusi tersebut.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.