8imig

Cubaan sekumpulan warga asing menyorok di dalam bilik air bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tidak berhasil apabila mereka akhirnya diberkas dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di Taman Mount Austin, awal pagi Ahad.

Screenshot 2025 11 09 at 11.59.52 AM

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi Op Sapu itu dijalankan sekitar jam 12.30 pagi melibatkan 30 pegawai Bahagian Penguatkuasaan negeri. Beliau berkata, hasil risikan dan aduan awam mendapati beberapa rumah kedai di kawasan berkenaan dijadikan tempat tinggal warga asing tanpa dokumen sah.

Ketika serbuan dilakukan, ada antara mereka sedang berehat, manakala sebahagian lagi bertempiaran lari dan menyorok di dalam bilik mandi bagi mengelak ditahan. Namun taktik itu tidak berhasil apabila pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan kesemuanya,” – Pengarah Imigresen Negeri Johor

Operasi tersebut membawa kepada penahanan 45 warga asing berusia antara sembilan bulan hingga 46 tahun, terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, sembilan lelaki Pakistan, tujuh lelaki India, 19 lelaki serta seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, selain lima wanita dan seorang wanita Indonesia. Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan sebahagian pula tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut. Beliau menegaskan bahawa JIM Johor akan terus memperhebat operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan pas atau permit kerja tanpa kompromi.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.