Bayangkan tidur di rumah sendiri, yang mana kita ingat itulah tempat yang paling selamat untuk kita semua.
Tapi dalam sekelip mata, siapa sangka kanak-kanak berumur 12 tahun boleh ‘hilang’ dari bilik tidurnya sendiri yang akhirnya menjadi salah satu kisah tragedi paling menyayat hati dalam sejarah Amerika Syarikat.
Hakikatnya, dunia memang tak pernah betul-betul selamat walaupun kita berada di zon selamat dan inilah realiti yang berlaku pada Polly Klaas.
Lebih menyedihkan, kes ini sangat serius sehinggakan ia memperkenalkan undang-undang baharu di Amerika Syarikat bagi pesalah-pesalah yang melakukan jenayah serius.
Kalau korang curious apa yang berlaku pada Polly Klaas, jom teruskan pembacaan di bawah.
Rumah dipecah masuk oleh seorang lelaki

Polly Klaas dilahirkan pada 3 Januari 1981 di Fairfax, California. Sejak berusia 12 tahun, dia telah tinggal bersama ibunya, Eve Nichol di Petaluma, California pada tahun 1993 selepas ibu bapanya bercerai.
Pada malam 1 Oktober 1993, Polly menjemput dua rakan baiknya ke rumah supaya mereka boleh mengadakan sleepover bersama-sama. Malam itu sepatutnya dipenuhi dengan gelak tawa dan momen meluangkan masa bersama rakan-rakannya sebelum tidur.
Walaupun ada kehadiran ibu dan adik-beradiknya yang lain dalam rumahnya pada waktu itu, tapi kejadian yang tidak diduga berlaku terlalu pantas apabila seorang lelaki bernama Richard Allen Davis telah memecah masuk rumah tersebut dan terus menuju ke bilik Polly.
Davis merupakan seorang bekas banduan

Sekitar jam 10.30 malam dengan bersenjatakan pisau, Davis mengancam ketiga-tiga kanak-kanak itu dan memberi amaran bahawa dia akan membunuh mereka jika tidak mengikut arahannya.
Dalam keadaan yang ketakutan, Polly dan rakan-rakannya tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan terpaksa ikut saja arahannya.
Tapi dalam kejadian itu, Davis cuma mengikat dan sumbat mulut rakan-rakan Polly dan terus membawa Polly keluar dari rumah tersebut dengan ancaman pisau. Selepas Davis berlalu, barulah dua rakan Polly itu cuba melepaskan diri dan segera memaklumkan ibu Polly tentang kejadian yang telah berlaku.
Apa yang mengejutkan adalah, Davis bukan merupakan orang biasa sebab dia sebenarnya seorang bekas banduan yang sedang menjalani parol. Kejadian ini juga bukan merupakan jenayah pertamanya dan dia mempunyai sejarah panjang yang berkaitan dengan kecurian, pecah rumah, serangan fizikal serta penculikan.
Pada tahun 1976, dia pernah menculik seorang wanita di Oakland dan pada tahun 1984, dia menculik lagi seorang wanita di Redwood City serta memaksa mangsa mengeluarkan wang sebanyak $6000 atau bersamaan dengan sekitar RM24,324 dari bank.
Ekoran ini, dia telah dipenjarakan selama 16 tahun, namun dibebaskan lebih awal dengan parol sebelum dia menculik Polly.
Pencarian besar-besaran

Sebaik saja laporan penculikan dibuat, pencarian besar-besaran terus dilancarkan di seluruh negara. Sepanjang bulan Oktober dan November 1993, ribuan sukarelawan tampil untuk cuba membantu pihak berkuasa agar Polly dapat dijumpai.
Kes ini menarik perhatian hampir semua orang di Amerika Syarikat pada waktu itu sehinggakan pelakon terkenal drama bersiri Netflix Stranger Things Winona Ryder, yang dibesarkan di Petaluma, sanggup menawarkan ganjaran sebanyak USD200,000 atau bersamaan dengan sekitar RM811,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai semula Polly.
Sebenarnya, penculik Polly iaitu Davis sempat bertembung dengan polis selepas insiden penculikan itu. Seorang wanita bernama Dana Jaffe, pernah melaporkan yang dia ternampak seorang lelaki kelihatan sangat cemas dan mencurigakan apabila keretanya tersangkut di parit berhampiran dengan rumahnya di Santa Rosa.
Tapi pada waktu itu, polis tidak menyemak latar belakang jenayahnya dan kemudian melepaskan saja Davis.
Dua bulan kemudian, Dana tiba-tiba menemui pakaian kanak-kanak perempuan di tanah miliknya dan kembali menghubungi polis semula. Dari situlah kes ini dapat disiasat sehinggalah ianya membawa kepada Davis.
Davis mengakui perbuatannya

Hasil siasatan forensik mendapati bukti yang ditemui di rumah Polly dan kawasan milik Dana, iaitu cap tapak tangan, sebenarnya mengaitkan Davis dengan jenayah tersebut.
Pada 4 Disember 1993, Davis akhirnya mengaku yang dia bukan sahaja telah menculik Polly, malah dia juga telah mencekik Polly di dalam kereta sebelum menyembunyikan mayatnya di sebuah kawasan lapang.
Kemudian, Davis membawa pihak berkuasa ke lokasi mayat Polly yang mana mayatnya telah ditanam secara cetek berhampiran dengan Lebuhraya 101 di Cloverdale.
Pada tahun 1996, Davis telah disabitkan bersalah atas pembunuhan tahap pertama dan dijatuhi hukuman mati. Davis pernah membuat rayuan agar hukumannya dikurangkan, namun rayuan tersebut telah ditolak pada tahun 2024.
Undang-undang baru diperkenalkan

Kematian Polly mencetuskan gelombang kemarahan dan kesedihan yang sangat besar terhadap orang awam.
Bahkan, ayah Polly sendiri iaitu Marc Klaas telah menubuhkan sebuah yayasan Polly Klaas Foundation dan KlaasKids Foundation bagi tujuan untuk melindungi kanak-kanak serta bantu kes orang yang hilang.
Kes ini juga mendorong kepada pengenalan undang-undang ‘Three Strikes and You’re Out’ di California pada tahun 1994. Undang-undang ini adalah untuk menetapkan hukuman seumur hidup bagi pesalah yang mempunyai dua sabitan terdahulu untuk jenayah serius.
Walaupun undang-undang ini diperkenalkan atas niat untuk membanteras jenayah serius, tapi ia juga telah menyebabkan peningkatan populasi banduan yang melebihi daripada 7,500 orang selepas sedekad pertama undang-undang ini dilaksanakan.
Secara tak langsung, undang-undang ini dikritik oleh orang ramai kerana separuh daripada banduan yang disabit bawah kesalahan berkenaan adalah bagi kes-kes yang ringan. Malah, adik-beradik Polly, Jess dan Annie Nichol, turut berasa hukuman ini tidak adil terutamanya bagi pesalah yang melakukan kesalahan yang ringan.
Kami memang trauma dengan kehilangan Polly, tapi kami juga trauma bila kematian dia dijadikan alasan untuk menghukum orang lain.
Kami tak mahu kesedihan kami dijadikan alat untuk sakitkan orang lain,” kata Jess Nichol dalam satu temubual bersama The Guardian.
Oleh sebab itu, hukuman ini pun telah dimodifikasikan mengikut kes-kes tertentu agar hukuman yang dijatuhkan berlaku secara adil.
Sumber: ati

1 day ago
9




![[VIDEO] Ketua Sindiket Scam Siber Chen Zhi Ditahan Di Kemboja, Kini Diekstradisi Ke China](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/01/ketua-scam-cambodia.png)

























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















