Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk mengambil alih Semenanjung Gaza, Trump mahu menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Timur Tengah’.
Katanya dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ‘Riviera Timur Tengah’ ini boleh menjadi sesuatu yang sangat luar biasa.
Artikel berkaitan : Malaysia Bakal Bantu Bina Sekolah, Hospital Dan Masjid Di Gaza – PMX
Artikel berkaitan : Lebih 900 Trak Bantuan Kemanusiaan Masuk Gaza Lepas 2 Hari Gencatan Senjata
Trump mendakwa bahawa semua orang yang membincangkan isu Gaza menyukai idea AS memiliki tanah itu untuk membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan dengan sesuatu yang akan menjadi luar biasa.
“Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom tidak meletup dan senjata berbahaya di kawasan itu.”
“Meratakan kawasan itu, menghapuskan bangunan yang musnah, mencipta pembangunan ekonomi dan perumahan tanpa had kepada penduduk di kawasan itu, melakukan sesuatu yang sebenar, sesuatu yang berbeza.”
Oleh itu, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal rakyat Palestin dari Gaza yang musnah akibat perang ke negara-negara jiran.
Malah, Trump sekali lagi menyeru Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza.
Alasanya adalah mereka tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan konflik dahsyat antara Israel dan kumpulan Hamas.
Namun kali ini, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal, berbanding saranannya sebelum ini yang telah ditolak tegas oleh pemimpin-pemimpin Arab.
“Jika kita dapat mencari tanah yang sesuai dan membina tempat tinggal yang cantik untuk mereka dengan dana yang mencukupi, itu pasti lebih baik daripada mereka kembali ke Gaza.”
Dakwa Trump lagi, rakyat Palestin ‘tidak akan mahu kembali ke Gaza’ sekiranya mereka ditempatkan di rumah yang selesa serta selamat daripada ancaman maut.
Bahkan, Trump turut menggambarkan bahawa Gaza sebagai ‘simbol kematian dan kehancuran’ serta berpendapat penduduk Palestin perlu dipindahkan ke pelbagai kawasan di negara lain.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat. Pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri mengecam saranan Trump dengan menyatakan ia cubaan pengusiran rakyat dari tanah mereka.
“Kami menganggap cadangan ini sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkannya berlaku.”
Selain itu, ia juga dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai usaha pembersihan etnik dan berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.
Sumber : Sinar Harian