Seorang lelaki berusia 63 tahun yang hilang sejak empat hari lalu akhirnya ditemui di tepi sungai Kampung Batu Cincin pagi tadi dalam keadaan telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang dikenali sebagai Mat Salleh Junoh yang juga merupakan seorang penoreh getah sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah oleh keluarganya setelah anaknya mendapati kereta Avanza milik mangsa tiada di kediaman mereka.
Kereta tersebut kemudiannya ditemui berada di kawasan parkir Pusat Rekreasi Jeram Besu, Raub, Pahang.
Walau bagaimanapun, mangsa ketika itu tiada di dalam kereta tersebut.
Artikel Berkaitan: Bapa Tersedar Anak 3 Tahun ‘Hilang’ Dari Kereta Lepas 2KM Memandu, Dipercayai Terjatuh Dari Tingkap
Artikel berkaitan: Pelajar Lembam Hilang Sejak Jumaat Ditemukan Lemas Selepas Keluar Mandi Bersama Rakan
Setelah itu, operasi mencari mangsa di kawasan pusat rekreasi itu dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Difahamkan, mangsa dilihat sedang menjala ikan di sungai berkenaan oleh saksi sebelum kejadian.
Setelah tiga hari operasi tersebut dijalankan, mangsa akhirnya ditemui di tepi sungai kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa disyaki jatuh namun dalam keadaan telah meninggal dunia akibat lemas.
Sumber: Sinar Harian