Seorang penumpang wanita mencetuskan kekecohan selepas mendakwa membawa bom ketika berada dalam pesawat Batik Air yang dalam persiapan untuk berlepas dari Jakarta ke Manado, semalam.
Bercakap kepada Detik News, Jurucakap Komunikasi Strategik Batik Air, Danang Mandala Prihantoro, berkata, insiden itu berlaku ketika pesawat penerbangan ID-6272 sedang bersiap sedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi, Manado.
Penumpang wanita yang duduk di tempat duduk 11E memberitahu kru kabin bahawa dia membawa bom, satu kenyataan berunsur ancaman yang amat serius.”
Kru kabin segera melaporkan insiden itu kepada juruterbang dan pasukan keselamatan mengikut prosedur standard Batik Air. Wanita berkenaan kemudiannya diarahkan turun dan tidak dibenarkan meneruskan penerbangan serta diserahkan kepada pihak berkuasa di lapangan terbang untuk siasatan lanjut.
Pesawat kemudiannya menjalani pemeriksaan keselamatan tambahan sebelum disahkan selamat untuk berlepas. Hasil siasatan tidak menemui sebarang objek mencurigakan atau bahan letupan.
Batik Air ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, gurauan atau perbuatan yang mengandungi unsur ancaman seperti bom, keganasan atau seumpamanya adalah kesalahan serius dan dilarang sama sekali.
Tambah Danang, menurut Akta Penerbangan Indonesia (Undang-Undang No. 1 Tahun 2009), individu yang membuat ancaman sedemikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, dan jika menjejaskan operasi penerbangan, boleh dihukum sehingga lapan tahun.
Baca: Juruterbang Tertinggal Pasport, Pesawat Terpaksa Patah Balik