Pengetua sebuah sekolah menengah aliran Cina telah meletakkan jawatan berikutan skandal penyebaran foto lucah palsu melibatkan pelajar sekolah berkenaan.
Menurut maklumat yang diterima, surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan pada 12 April lalu dan diterima secara rasmi oleh Lembaga Pengarah sekolah dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Bagaimanapun, lembaga pengarah tidak menyatakan sebab khusus di sebalik peletakan jawatan itu, sebaliknya memaklumkan keputusan berkenaan dibuat atas dasar ‘kehendak peribadi’.
Memetik laporan Berita Harian, dalam satu kenyataan di laman rasmi sekolah, pihak lembaga menyatakan bahawa keputusan menerima peletakan jawatan itu dicapai secara sebulat suara selepas perbincangan mendalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin ketika dihubungi memaklumkan beliau belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung peletakan jawatan tersebut.
Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1913 di Johor Bahru itu kini beroperasi di tiga kampus iaitu di Stulang Laut, Kulai dan Masai, dan dikenali sebagai institusi pendidikan bebas berprestij dalam kalangan masyarakat Cina.
Skandal tercetus awal bulan ini selepas beberapa pelajar perempuan, termasuk bekas pelajar, tampil mendakwa gambar mereka telah disunting secara digital menjadi imej lucah oleh seorang pelajar lelaki. Foto-foto tersebut kemudiannya dipercayai diedarkan dalam satu kumpulan sembang untuk tujuan keuntungan.
Tindakan awal pihak sekolah yang dianggap terlalu ringan terhadap pelaku mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa yang bimbang keselamatan serta kesejahteraan anak-anak mereka di sekolah.
Dalam perkembangan terkini, polis mengesahkan penahanan dua individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai dalang utama kes berkenaan, serta seorang rakan subahat berusia 19 tahun.
Pihak sekolah dalam satu kenyataan pada 10 April lalu turut mengesahkan bahawa pelajar terlibat telah dibuang sekolah, sambil mengakui kelemahan dalam tindakan awal serta berikrar untuk memperbaiki keadaan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat kepada semua pelajar.
Baca: “Satu RM2” – Remaja 16 Tahun Ditahan Polis, Jual Gambar Luc*h Yang Diedit Guna AI