Sempena sambutan Tahun Baru Cina dalam beberapa minggu yang mendatang, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan larangan kenderaan barangan untuk berada di jalan-jalan raya selama empat hari.
Memetik laporan Bernama, MOT memaklumkan larangan itu akan dikuatkuasakan 2 hari sebelum dan 2 hari selepas perayaan iaitu pada 27 dan 28 Januari serta pada 1 dan 2 Februari. Larangan ini mengambil kira peningkatan trafik ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
Tujuan utama larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko terjadinya kemalangan jalan raya.
MOT turut memperingat semua pemandu supaya patuh dengan undang-undang jalan raya sepanjang mengembara pulang ke kampung halaman.
Baca: Rim Besi Dari Tayar Lori Yang Dipercayai Jadi Punca Kemalangan Di Ayer Keroh Ditemui Polis