Spekulasi mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) semalam. Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya.
Dalam kenyataan tersebut, Ewon memaklumkan bahawa beliau akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan keputusannya meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peluang yang diberikan untuk memperjuangkan hak-hak Sabah sepanjang berada dalam Kabinet.

Ewon menjelaskan, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu berpegang kepada prinsip perjuangan UPKO berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, beliau tidak dapat bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menurutnya mengabaikan sejarah dan syarat pembentukan Persekutuan Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini.
Beliau menegaskan, adalah janggal untuk terus berada dalam Kabinet apabila pandangan AGC bercanggah dengan prinsip perjuangannya. Tambahnya, pendekatan AGC terhadap isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah bertentangan dengan pendirian UPKO, justeru beliau memilih untuk berundur bagi memberi tumpuan kepada perjuangan hak Sabah di peringkat negeri.
Ewon turut menyatakan bahawa beliau tidak akan menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu dan berharap agar AGC tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah. Katanya, langkah berundur ini dibuat atas pertimbangan prinsip dan maruah politik, bukan atas tekanan mana-mana pihak.
Sumber: Harian Metro

1 week ago
27































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















