Memang tidak dinafikan yang negara Thailand sememangnya terkenal dengan produk tempatan yang inovatif dan berkesan. Dari barangan alat solek hingga ke penjagaan kulit, negara jiran itu berjaya menarik perhatian pengguna dengan kualiti yang seiring dengan jenama antarabangsa serta harganya juga jauh lebih berpatutan.
Disebabkan nilai mata wang yang lebih rendah berbanding mata wang Malaysia, ramai orang kita menjadikan Thailand sebagai destinasi ‘shopping’ untuk mendapatkan produk kecantikan dan kesihatan, termasuklah ‘inhaler‘ herba yang kini semakin popular di sini.
Salah satu produk yang semakin mendapat perhatian ialah Yadom, produk perubatan ‘inhaler’ herba yang dipercayai boleh melegakan hidung tersumbat di samping menjadi salah satu barangan wajib dalam kehidupan seharian rakyat Thailand.
Namun baru-baru ini, menerusi kenyataan yang diterbitkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), inhaler herba jenama Hong Thai dilaporkan gagal memenuhi piawaian keselamatan akibat pencemaran mikrob. FDA menjelaskan bahawa hanya produk yang berdaftar di bawah nombor G09/62 itu tidak mematuhi piawaian ketulenan dan kualiti 2021 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Awam.
Agensi tersebut dengan serta-merta telah memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak membeli atau menggunakan produk berkenaan ekoran ketidakpatuhan di bawah piawaian Seksyen 60 (2) Akta Produk Herba B.E. 2562 (2019).
Tapi produk apa sebenarnya ni sampai boleh menjadi pilihan orang ramai?
Artikel Berkaitan: Produk ‘Yadom’ Popular Dari Thailand Didakwa Kotor, Dikesan Ada Bakteria & Kulapuk – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Orang Yang Nak Bercuti Ke Thailand Dalam Masa 3 Bulan Ini Disaran Pakai Baju Hitam Sebab… – Lobak Merah
Apa tu Yadom?

Yadom ialah sejenis produk ‘inhaler’ hidung atau penyedut aroma herba yang sangat popular di Thailand. Menurut Thailand Foundation, Yadom ini dikategorikan sebagai ubat rumah tangga generik yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Perkataan ‘Yadom‘ atau ‘ยาดม’ ini berasal daripada dua perkataan Thai iaitu ya (ยา) yang bermaksud ubat dan dom (ดม) yang bermaksud ‘menghidu bau’. Maka dengan itu, Yadom membawa maksud kepada ‘menghidu bau ubat’.
Dari segi bentuk, ‘Yadom‘ biasa ditemui dalam bentuk bekas plastik kecil yang mudah untuk dibawa ke mana-mana. Jenama yang paling popular adalah seperti Poy Sian dan Hong Thai kerana reka bentuknya yang praktikal dan bau yang menyegarkan.
Fungsi penggunaan

‘Yadom‘ sering dipuji kerana keupayaannya membantu melegakan simptom seperti pening, sakit kepala, loya, tekanan dan rasa nak pitam. Ramai yang merasakan bau yadom yang sejuk dan menyegarkan ini dipercayai dapat membantu menyegarkan minda serta memberi rasa lega dan tenang.
Namun begitu menurut IFL Science, kesan sebenar penggunaan Yadom masih belum banyak dibuktikan melalui kajian santifik meskipun produknya memang tidak dinafikan memang bagus. Disebabkan itu juga, agak sukar untuk membuat kesimpulan tepat mengenai keberkesanan dan keselamatan penggunaan Yadom.
Testimoni pengguna juga dilaporkan berbeza bagi setiap individu. Kebanyakan pengguna mengatakan bahawa mereka terus rasa lega selepas menggunakannya, terutamanya apabila mengalami pening, keletihan atau hidung tersumbat.
Cara penggunaannya juga amat mudah iaitu dengan membuka penutupnya dan letakkan hujung ‘inhaler’ di bawah hidung, kemudian tarik nafas perlahan-lahan. Penggunaan Yadom ini disarankan hanya beberapa kali sehari sahaja dan bergantung kepada keperluan korang dalam menggunakannya.
Bagi mereka yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma atau sinusitis serta kanak-kanak di bawah umur enam tahun, penggunaan yadom perlu dilakukan dengan berhati-hati atau seeloknya dielakkan sama sekali. Sama seperti ubat-ubatan lain, pengambilan yadom ini juga lebih baik dibincangkan bersama doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum menjadikannya sebahagian daripada rutin harian.
Kandungan bahan utama

‘Yadom’ ini sebenarnya kecil je dan biasanya di dalam bekas plastik kecil yang boleh dibuka di bahagian atas untuk dihidu. Tapi selain bentuk bekas tiub itu, Yadom wujud dalam bentuk lain seperti bentuk roller bottle yang berisi pati minyak angin untuk disapu pada kulit. Kemudian, ada juga dalam bentuk botol kaca kecil yang isinya mengadungi herba kering yang dierendam dalam minyak aromatik.
Setiap jenama dikatakan mempunyai formulasi yang berbeza, namun kebanyakan Yadom ini mengandungi tiga bahan utama yang telah dicampurkan bagi mendapatkan aroma yang segar iaitu menthol, camphor dan borneol.
Camphor dihasilkan melalui proses perebusan bersama beberapa campuran lain bagi menghasilkan bau yang kuat serta menyegarkan. Ia juga sering digunakan dalam produk seperti minyak sapu, losen, minyak wangi dan sabun.
Apabila dihidu, camphor dipercayai boleh membantu melegakan rasa pening. Manakala apabila disapu pada kulit, ia memberikan rasa sejuk yang menenangkan serta membantu mengurangkan iritasi. Namun disebabkan baunya yang agak kuat, pengguna disarankan untuk tidak terdedah dengannya dalam tempoh yang berpanjangan kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan pada saluran penafasan nanti.
Seterusnya, menthol pula diambil daripada daun pudina untuk memberikan aroma yang segar. Bahan ini juga banyak digunakan dalam losen dan produk penjagaan kulit kerana sifatnya yang menyejukkan dan menenangkan. Menghidu menthol dikatakan boleh mengurangkan rasa pening serta juga boleh menimbulkan rasa sejuk yang menyegarkan.
Borneol pula ialah bahan semula jadi yang diperoleh daripada pokok Dryobalanops aromatica. Bahan ini terkenal dengan kesan penenang serta melegakan kesakitan ringan seperti mengurangkan radang dan gigitan serangga. Baunya yang unik ini menjadikan antara bahan paling penting dalam formulasi minyak aromaterapi dan produk herba tradisional.
Kenapa produk ni popular di Thailand?

Walaupun kemasukan perubatan moden semakin banyak di Thailand, namun populariti Yadom masih kukuh dan tidak pernah pudar di hati rakyat Thailand.
Di tempat kerja, sebahagian daripada mereka menggunakan Yadom sebagai cara pantas untuk segarkan fikiran ketika menghadapi tekanan mental. Aromanya mampu memberikan kelegaan dengan segera serta bantu seseorang untuk berfikir dengan lebih jelas.
Rakyat Thailand juga sudah menjadikan produk perubatan ini sebagai item yang penting dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun produk ini sudah wujud sejak sekian lama, mereka tidak pernah anggap sebagai sesuatu yang lapuk atau hanya boleh digunakan oleh golongan tua.
Kalau mengikut sejarahnya, Yadom mempunyai akar yang mendalam dalam budaya dan amalan perubatan tradisional Thai. Penggunaan aromaterapi mula berkembang semula di Asia Tenggara ketika zaman pemerintahan Raja Siam Rama II sekitar abad ke-19. Dalam karya sastera Nirat Phukhao Thong yang ditulis oleh Sunthorn Phu juga menyebut tentang minatnya terhadap aroma semula jadi, menjadikan bukti wangian dan aromaterapi sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Thailand.
Kini, Yadom menjadi produk yang diamalkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang mereka. Malah, golongan muda juga sering menggayakan dan memodenkan cara penyimpanan Yadom mereka dengan cara menjadikan ia sebagai keychain supaya mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Sumber: IFL Science, Thailand Foundation

5 hours ago
3






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















