Prosiding bagi kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan diteruskan hari ini.
Pegawai penyiasat yang menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya harini ini bahawa ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf kelihatan tiada perasaan dan ‘kosong’ ketika rakaman percakapan berhubung kehilangan anaknya.
Artikel berkaitan: Saksi Dedah Riak Wajah Ismanira Tidak Risau, Lapor Polis Kehilangan Zayn Rayyan Lepas 5 Jam
Artikel berkaitan: Saksi Bongkar Keadaan Mayat Adik Zayn Rayyan Masa Ditemui
Saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin berkata, reaksi wanita itu dilihat ketika dia bertemu dengan Ismanira di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.
Nina juga dilihat tidak dapat menahan sebak dalam kandang saksi ketika memberi keterangan berhubung rakaman percakapan diambil dengan pengadu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa, Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai keadaan Ismanira ketika proses mengambil percakapan berlaku di lokasi.
Aqharie: Selepas terima panggilan telefon, apa kamu dimaklumkan?
Nina: Saya dimaklumkan pengadu satu perempuan Melayu berumur 28 tahun nama Ismanira Abd Manaf mengatakan anaknya berumur enam tahun, kanak-kanak autisme, jantina lelaki telah hilang semasa berada di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai.
Aqharie: Selepas terima makluman, tindakan kamu?
Nina: Saya meminta bercakap dengan pengadu melalui panggilan telefon, selepas itu saya bercakap dan tanya satu soalan, sejak bila OH (Orang Hilang) hilang, OH merujuk kepada anaknya pemegang kad OKU autisme, semasa bercakap di telefon, pengadu memaklumkan kanak-kanak hilang sejak jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023.
Aqharie: Kemudian apa berlaku?
Nina: Saya bertanya kepada pengadu kenapa buat laporan polis lewat, pengadu memaklumkan cuba mencari di kawasan persekitaran dulu, hubungi suami di tempat kerja dan dapat nasihat daripada jiran.
Nina ketika memberi keterangan berkata, dia kemudian meminta pengadu ke pejabat pegawai penyiasat di IPD Petaling Jaya untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
“Sebaik selesai urusan di Hospital Sungai Buloh berkaitan kes lain, saya tamatkan panggilan telefon dan terus pulang ke pejabat bagi merakam percakapan pengadu,” katanya.
Aqharie: Daripada Sungai Buloh kamu ke mana dan apa berlaku?
Nina: Saya terus balik ke IPD PJ dan dalam perjalanan balik saya terima panggilan daripada penduduk iaitu ketua blok (Apartment Idaman) memaklumkan terdapat maklumat seorang kanak-kanak ada terlihat kelibat anak pengadu di blok itu, selepas terima maklumat itu saya terus menghubungi pengadu semula memaklumkan kepada pengadu untuk pulang ke rumah bagi berjumpa ketua blok.
Aqharie: Panggilan daripada ketua blok jam berapa?
Nina: Saya terima lingkungan 7 petang
Aqharie: Selepas memaklumkan kepada pengadu apa berlaku?
Nina: Ketika saya meminta pengadu pulang semula ke rumah, pengadu berkeras mahu berjumpa saya dahulu di pejabat dan kemudian saya bercakap dengan suami kepada pengadu, suami pengadu telah meninggikan suara untuk berjumpa dengan saya di pejabat dahulu.
Aqharie: Bagaimana tahu suami pengadu?
Nina: Saya dikenalkan dalam panggilan itu suami pengadu.
Aqharie: Kenapa kamu meminta pengadu jumpa ketua blok?
Nina: Saya meminta pengadu pulang ada makluman terjumpa kelibat (mangsa), saya anggarkan ketika itu mangsa berkeliaran sekitar blok R sebab itu saya meminta pengadu dan suami buat pengecaman sekiranya betul maklumat diterima.
Aqharie: Selepas kamu tiba di blok R, apa berlaku?
Nina: Selepas jumpa pengadu, saya merakam percakapan pengadu dan meminta dia tandatangani borang persetujuan Nur Alert untuk buat hebahan.
Aqharie: Selepas dokuman ini ditandatangai, tindakan kamu berikutnya?
Nina: Saya merakam percakapan pengadu kemudiannya bertanyakan beberapa soalan kepada pengadu, saya meminta pengadu menceritakan semula bagaimana kehilangan kanak-kanak autisme itu. Pengadu menceritakan kanak-kanak tidak mahu pulang terus ke rumah kerana mahu main buaian kemudian pengadu naik ke tangga bersamanya yang berjalan di bahagian belakang, dan pengadu mendapati tidak mendengar tapak kaki kanak-kanak itu dan toleh ke belakang dan didapati hilang.
Aqharie: Itu saja?
Nina: Sewaktu kejadian pengadu ada memaklumkan dia memegang barang baru dibeli di tangan kanan dan kiri dan kanak-kanak itu berjalan di belakang, apabila tidak mendengar tapak kaki, pengadu meninggalkan barang di tangga dan kemudian menoleh ke belakang dan mendapati kanak-kanak itu tiada. Pengadu juga beritahu telah cuba mencari sekitar blok R, apartment itu sehingga jam 1 petang kemudian pengadu buat keputusan menghubungi suami di tempat kerja dan memaklumkan kejadian selepas itu pengadu memaklumkan buat hebahan melalui Facebook tentang kehilangan kanak-kanak itu.
Aqharie: Boleh kamu terangkan ketika ambil rakaman percakapan di tempat kejadian?
Nina: Saya ambil rakaman percakapan di tempat kejadian untuk melihat tempat kejadian itu dan selepas saya pergi ke blok R apartment bersebelahan dengannya terdapat saluran air longkang, belukar dan semak samun.
Aqharie: Ketika kamu mengambil rakaman percakapan pengadu bernama Ismanira ini bagaimana keadaan pengadu?
Nina: Semasa rakaman percakapan saya ada bertanyakan beberapa soalan kepada pengadu, pengadu tak dapat jawab soalan saya.
Aqharie: Soalan saya tadi, bagaimana keadaan pengadu ketika rakaman percakapan?
Nina: Keadaan pengadu ketika itu seperti kosong
Aqharie: Apa maksud kosong?
Nina: Pertanyaan saya tidak dijawab, maksud kosong itu adalah tiada perasaan, tiada sebarang reaksi ketika itu.
Nina Syami yang merupakan saksi pendakwaan keempat kelihatan menyapu air mata dengan sehelai tisu sebelum meneruskan perbicaraan.
Prosiding di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok.
Sumber: Berita Harian