syaz ft 2025 11 07T123732.305

Seorang lelaki warga emas memilih untuk menzahirkan rasa cintanya kepada arwah isteri dengan mewakafkan harta peninggalan wanita itu bernilai lebih RM60,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Mansor @ Razali Zamzam, 63, memaklumkan bahawa isterinya, Rohaya Abd Hassan, meninggal dunia pada 29 Oktober lalu, dan seminggu selepas pemergian itu, beliau menunaikan hasrat mereka untuk mewakafkan harta berkenaan.

Aritkel berkaitan: “Ayah lah cinta pertama saya”- Rakaman Pilu Seorang Anak Sewaktu Terima Berita Kematian Bapa Buat Netizen Sebak

Artikel berkaitan: “Walau apa berlaku, kami pasrah & redha” –  Ibu Bapa Arwah Al Fateh Mohon Doakan Kesihatan Bayi Kembar 3

Menurut Razali, Allahyarham isterinya pernah menghadiahkan barang kemas dan wang sebagai tanda penghargaan kerana beliau menjaga wanita itu sepanjang dua tahun lebih menghidap kanser. Namun, peniaga air soya itu memilih untuk menginfakkan segala harta pemberian itu kepada golongan memerlukan sebagai amal jariah berpanjangan melalui Baitulmal MAINS.

“Ketika sakit, arwah tanya mengenai barang kemasnya. Jadi, saya tunjukkan dan dia kata mahu bagi kepada saya sebab saya jaga dia selama ini.

Saya beritahu saya tak nak dan tanya sama ada boleh kalau diinfakkan semua emas dan wang itu.

Dia bersetuju dan itu perjanjian saya dengan dia. Apabila dia sudah tiada, saya kena tunaikan,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, kelmarin, Razali menyerahkan wakaf berjumlah RM60,380 hasil penjualan emas dan wang peninggalan Allahyarham di Pejabat MAINS Kuala Pilah.

Mengulas mengenai penyakit isterinya, Razali berkata wanita itu disahkan menghidap kanser ovari pada 2018 sebelum ia merebak ke buah pinggang.

Tidak mempunyai anak kandung, Razali berkata keputusan mewakafkan harta itu dibuat kerana bimbang ia mungkin disalah guna jika disimpan.

“Selepas wakafkannya, saya lega dan tenang kerana sudah menunaikan amanah isteri. Ini adalah bukti cinta dan kasih sayang kami selepas 36 tahun menjadi suami isteri,” katanya.

Beliau turut berharap perkongsian kisahnya dapat memberi inspirasi kepada masyarakat dan bukannya dianggap sebagai menunjukkan kekayaan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.