Kisah Tragis Susan Cabot, Bintang Hollywood Yang Dib*nuh Oleh Anaknya Sendiri

2 weeks ago 28

Kadang kadang, pertelingkahan antara ibu dan anak ni bukanlah sesuatu yang asing walau rapat mana pun hubungan mereka berdua. Dalam hubungan yang penuh dengan kasih sayang pun, pasti akan ada masa timbul juga salah faham atau ketegangan kecil.

Tapi siapa sangka, satu pertengkaran itu akhirnya membawa kepada kisah tragis yang menyayat hati dan itulah yang terjadi pada Susan Cabot, seorang pelakon Hollywood yang hidupnya berakhir di tangan anaknya sendiri.

Berikut adalah kisah sebenar di sebalik kehidupan Susan Cabot, dari zaman kegemilangan di layar perak hingga ke penghujung nasibnya yang gelap.

Siapa sebenarnya Susan Cabot? 

susan cabot

Susan Cabot dilahirkan sebagai Harriet Pearl Shapiro pada 9 Julai 1927 di Boston, Massachusetts. Sejak kecil, hidupnya penuh dengan trauma kerana ayahnya meninggalkan keluarga, ibunya pula dimasukkan ke hospital sakit jiwa akibat masalah mental yang teruk, menyebabkan dia membesar dengan kesunyian.

Menurut ahli psikologi yang merawatnya bertahun-tahun kemudian iaitu Carl Faber, Susan sering menjadi mangsa penderaan seksual dan emosi ketika dia waktu kecil dan pernah berpindah lebih 14 rumah jagaan yang berbeza sepanjang zaman kanak-kanaknya.

Dari situlah lahirnya seorang wanita yang lemah, tapi terpaksa untuk kuatkan diri demi untuk mencari makna baru dalam hidup.

Artikel Berkaitan: Wanita Ditemui Maut Lepas Bun*h Anak Perempuan Umur 4 Tahun, Anak Lelaki Sempat Larikan Diri – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Cuba Dib*nuh Ibu, Kanak-Kanak 7 Tahun Stabil Tetapi Masih Trauma – Lobak Merah

Mula menceburi dunia perfileman 

the wasp woman

Dalam kehidupannya yang kacau bilau itu, dia telah berpindah ke New York dan menamatkan sekolah menengahnya di situ.

Kemudian, dia bekerja sambilan di kelab malam dan teater kecil. Pada tahun 1947, dia terpilih untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Kiss of Death dan di situlah yang menjadi titik permulaan dia untuk menceburi dunia lakonan.

Apabila lakonannya mula menarik perhatian orang ramai, dia mula mendapat peluang lebih besar iaitu dengan membintangi filem On the Isle of Samoa pada tahun 1950 yang membawa dirinya membina nama menerusi Universal Studios.

Sepanjang tahun 1950-an, Susan membintagi pelbagai filem termasuk The Duel at Silver Creek (1952), Son of Ali Baba (1952) bersama Tony Curtis, Gunsmoke (1953) dan Ride Clear of Diablo (1954).

Dan filem The Wasp Woman (1959) adalah antara filem yang membuatkan namanya semakin dikenali apabila dia memainkan watak sebagai seorang saintis wanita yang bertukar menjadi makhluk separuh manusia dan separuh tebuan.

Menjalinkan hubungan bersama Raja Jordan 

king hussein

Pada tahun 1959, Raja Hussein bin Talal iaitu Raja Jordan, telah melakukan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan diiringi oleh Central Intelligence Agency (CIA) bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Namun di sebalik lawatan diplomatik tersebut, sebuah laporan didedahkan di mana CIA menerima arahan untuk memastikan Raja Hussein mempunyai ‘teman wanita’ sepanjang lawatan tersebut, kononnya boleh menjamin lawatan diplomatik tersebut ‘memuaskan dan harmoni’.

Atas sebab itu, CIA pun mencari calon wanita yang sesuai di mana dia boleh bergaul dalam kalangan elit Hollywood dan secara tidak langsung, nama Susan Cabot yang muncul. Pertemuan pertama mereka berlaku pada 9 April 1959 di sebuah majlis sosial yang diadakan di kediaman ahli perniagaan minyak terkenal, Edwin Pauley.

Dari situlah hubungan antara Susan dan Raja Hussein mula berkembang. CIA juga menyatakan bahawa Susan terpersona dengan Raja Hussein dan menganggapnya sebagai lelaki paling menawan yang dia pernah jumpa.

Hubungan mereka berlangsung secara rahsia selama tujuh tahun tanpa pernah didedahkan kepada umum kerana terlalu berisiko dan kontroversi. Perbezaan agama dan budaya menjadi penghalang besar bagi mereka berdua, memandangkan Susan ialah wanita Yahudi Amerika, manakala Raja Hussein pula seorang pemimpin sebuah negara Islam di Timur Tengah.

Meskipun begitu, Susan dikatakan telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Timothy Scott yang dipercayai anak kepada Raja Hussein.

Anak mempunyai masalah kesihatan 

Featured LM 3

Namun, atas sebab yang tidak pernah dijelaskan secara terbuka, hubungan antara Susan dan Raja Hussein akhirnya terputus juga. Selepas itu, Susan membesarkan anaknya bersama suaminya yang bernama Michael Roman.

Kehidupan Susan juga diduga apabila anak yang dibesarkannya, Timothy itu dilahirkan pramatang dan mengalami masalah kesihatan serius sejak kecil. Ketika masih bayi, dia terpaksa menjalani pembedahan akibat usus terbelit dan sering mengalami sawan. Tidak lama kemudian, doktor mengesahkan bahawa Timothy menghidap penyakit dwarfisme, iaitu pertumbuhan yang terbantut.

Dalam usahanya untuk membantu anaknya, Susan mula memberikan suntikan hormon pertumbuhan dengan harapan anaknya boleh membesar seperti anak-anak orang lain.

Malangnya, kajian kemudian mendedahkan bahawa rawatan itu sebenarnya boleh menyebabkan kerosakan neurologi dan dipercayai memberi kesan kepada keadaan mental apabila dia meningkat dewasa.

Susan menghadapi masalah mental 

susannnn

Sepanjang dia membesarkan anaknya, Susan mula menjauhkan dirinya daripada dunia luar. Menurut IMDB, dia juga telah bercerai dengan suaminya sekitar 1980-an kerana masalah mentalnya yang semakin teruk. Rumahnya penuh dengan surat khabar lama dan makanan yang rosak, menandakan yang dia semakin tidak terurus.

Pakar psikologi, Carl Faber mendedahkan yang Susan sering meluahkan perasaan tertekan yang menghantuinya sejak kecil. Carl merasakan zaman kanak-kanak Susan yang penuh trauma itu telah meninggalkan kesan mendalam buat Susan kerana dia sering ingin untuk putus asa dan mempunyai sifat ketakutan melampau tanpa sebab.

Meskipun kehidupannya agak stabil dari segi kewangan hasil kerja lakonannya, Susan tetap dilanda ketakutan bahawa suatu hari nanti, dia dan anaknya akan jatuh miskin dan hilang segalanya.

Dia cakap sebab utama dia masih hidup hanyalah kerana anaknya. 

Saya dengar nada suara yang tak pernah saya dengar sebelum ni. Dia cakap, ‘Carl, saya penat. Saya nak pergi, tapi kalau bukan sebab Timothy, saya dah lama pergi,’” kata Carl.

Salah seorang jiran Susan juga mendedahkan bahawa anaknya sangat bergantung pada Susan dan mereka kelihatan sangat rapat. Susan tidak pernah ke mana-mana tanpa anaknya.

Tragedi 10 Disember 

barbellllGambar Hiasan

Namun pada 10 Disember 1986, sesuatu yang tak diduga berlaku antara ibu dan anak itu.

Pada malam kejadian, pihak polis telah menerima panggilan kecemasan daripada rumah Susan yang terletak di Encino, Los Angeles. Apabila pihak polis tiba di sana, pelakon itu dijumpai terbaring tidak bernyawa dengan pakaian tidurnya yang berlumuran darah.

Anaknya, Timothy yang berusia 22 tahun pada waktu itu, mendakwa bahawa ibunya telah dibunuh oleh seorang perompak. Dia menjelaskan bahawa suspek merupakan seorang lelaki Latino tinggi, berambut kerinting dan memakai pakaian seperti Ninja Jepun. Selain itu, dia juga mendakwa lelaki tersebut telah melarikan wang tunai berjumlah $70,000 serta memukul ibunya hingga pengsan.

Malangnya, penemuan di tempat kejadian tidak menyokong cerita Timothy. Selepas disoal siasat, barulah dia mengaku kepada pihak polis bahawa dialah yang membunuh ibunya sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

Timothy mendakwa yang pada malam itu, Susan terlebih dahulu menyerangnya dengan menggunakan barbell dan tindakan membunuh ibunya hanyalah sebagai usaha untuk mempertahankan diri.

Perbicaraan mahkamah Timothy Scott 

timothy scott

Semasa perbicaraannya, Timothy memberi keterangan bahawa pada malam kejadian, Susan berada dalam keadaan yang tidak waras dan keliru. Ibunya tiba-tiba menjerit, bercakap seorang diri, memanggil nama ibunya sendiri dan seolah-olah tidak mengenalinya.

Apabila Timothy cuba untuk menghubungi bantuan, Susan tiba-tiba mengambil barbell tersebut dan menyerangnya.

Dia ambil barbell tu dan mula hayunkan ke arah saya. 

Saya sempat pegang benda tu… dan perkara terakhir yang saya ingat hanyalah cuba menolak dia, cuba keluar dari bilik tu,” katanya ketika memberi keterangan.

Peguam bela Timothy berhujah bahawa tindak balasnya mungkin terlalu agresif disebabkan kesan ubat-ubatan dan suntikan hormon pertumbuhan yang pernah diambilnya bagi merawat penyakit dwarfisme.

Dalam masa yang sama, Carl menjelaskan yang tinggal bersama Susan ni boleh menyebabkan emosi rasa tertekan kerana berkomunikasi dengan Susan selalunya meletihkan secara mental. Dia juga percaya yang Timothy telah mendengar luahan ketakutan ibunya selama beratus jam sepanjang mereka hidup bersama.

Namun, pihak mahkamah mendapati Timothy bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa niat dan dijatuhkan hukuman tiga tahun percubaan.

Di sebalik kejayaannya di Hollywood, di mana dia sempat berlakon bersama nama-nama besar pada waktu itu, rupanya dipenuhi dengan trauma, kesunyian dan tekanan emosi yang melampau.

Kemungkinan di mana penderitaan yang dia lalui sejak zaman kanak-kanak serta kisah percintaan dia yang gagal, menjadikan semuanya beban yang menghancurkan dirinya.

Meskipun begitu, Susan tetap seorang ibu yang penyayang dan berdedikasi di mana setiap hari dia mencuba untuk hidup demi anaknya itu. Dalam kenyataan anaknya pada malam kejadian, Timothy sempat berkata ibunya seorang yang sangat istimewa dan dia amat menyayangi ibunya.

Sumber: ATI

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |