Seorang budak lelaki berusia 12 tahun didakwa secara sengaja meletakkan objek tajam di atas jalan raya dan membahayakan pemandu menyebabkan kedua ibu bapanya dipanggil polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sabri Zainol, pengadu memaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 7.30 pagi Ahad di Jalan Kilometer 20 Semporna-Tawau ketika dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau.
“Objek tersebut dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada kemalangan yang berlaku terhadap pengguna jalan raya dalam kejadian itu,” katanya.
Artikel berkaitan: Budak 10 & 11 Tahun Ditahan Polis, Bawa Motor Sejauh 400KM Sebab Nak Jumpa Kawan
Artikel berkaitan: “Orang Malaysia baik-baik” – Kanak-kanak Berseorangan Tengah Jalan Diselamatkan Pemandu
Menurutnya, pengadu bersama pemandu bas pelancong yang lain bertindak membuang objek-objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Polis memaklumkan, hasil siasatan mendapati objek tajam itu dibuang kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan lokasi kejadian dengan tujuan sekadar untuk suka-suka.
“Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu.”
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat, memaparkan pengguna jalan raya menemukan beberapa objek seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya.
Sumber: Sinar Harian