Syaz Ft 2026 08 06T154228.431

Sukan Komanwel Glasgow yang baru sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu kini terpalit dengan isu luar jangkaan apabila polis Scotland melancarkan siasatan berhubung laporan kehilangan beberapa atlet asing yang gagal mendaftar keluar atau pulang ke negara asal mereka.

Menurut laporan portal berita Al Jazeera, empat daripada enam anggota skuad tinju Uganda dilaporkan hilang sejurus sebelum pasukan tersebut dijadualkan berlepas pulang pada Selasa. Malah, salah seorang daripada petinju berkenaan dilaporkan sempat memaklumkan kepada pihak media bahawa mereka memang merancang untuk tinggal dan memohon suaka di negara berkenaan.

Artikel berkaitan: Cipta Sejarah Baru! Atlet Judo 21 Tahun Sumbang Emas Ke-8 Malaysia Di Sukan Komanwel

Artikel berkaitan: Bawa ‘Sweater’ Arwah Ibu Ke Glasgow, Aznil Bidin Sebak Cipta Sejarah Hatrik Emas Sukan Komanwel

Cats 1

Dalam pada itu, isu kehilangan ini turut melibatkan kontinjen dari Asia Selatan apabila laman web Pakistan Today mengesahkan seorang lagi petinju dari negara itu gagal menghadirkan diri bagi penerbangan pulang yang dijadualkan pada hari yang sama.

Pihak berkuasa tempatan kini sedang bekerjasama rapat dengan Home Office bagi mengenal pasti lokasi sebenar kesemua atlet yang terlibat serta menilai status keberadaan mereka.

“Polis Scotland telah menerima laporan mengenai beberapa atlet yang masih belum dapat dikesan. Siasatan sedang dijalankan bagi menilai keadaan sebenar dan perbincangan awal turut dilakukan bersama Home Office,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan rasmi.

Fenomena atlet atau pegawai sukan ‘melarikan diri’ dan gagal pulang ke negara asal sejurus tamat penganjuran temasya sukan besar bukanlah satu perkara baharu. Insiden sebegini kerap berulang, khususnya dalam temasya yang dianjurkan di negara-negara barat seperti Australia dan Britain sejak edisi Glasgow 2014.

Sebagai rekod, selepas penganjuran Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Australia, pihak berkuasa negara berkenaan terpaksa mengesan lebih 50 atlet dan pegawai yang hilang sebulan selepas temasya berakhir, manakala kira-kira 190 lagi secara rasmi memohon suaka politik.

Sukan Komanwel Glasgow kali ini telah menghimpunkan seramai 3,000 atlet daripada 74 buah negara yang bertanding sepanjang 11 hari temasya berlangsung.

Sumber: Al Jazeera

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.