Wanita Jadi Mangsa Kecuaian Doktor Salah Pasang IUCD, JKNJ Tubuh Jawatankuasa Khas Untuk Siasatan

1 week ago 38

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap satu berita yang tular di media sosial pada 12 Januari lalu berhubung dakwaan isu pemasangan Intrauterine Contraceptive Device (IUCD) di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Pontian telah menjalankan siasatan susulan aduan yang diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 23 Disember 2025.

Artikel berkaitan: “TIDAK BENAR” – KKM Nafi Dakwaan Tak Terima Pesakit ‘Walk-in’ Di Klinik Kesihatan Mulai Januari 2026

Artikel berkaitan: Wanita Buat Kecoh & Maki Hamun Di Klinik Kena Tahan, Dihantar Ke Hospital Bahagia

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pesakit terbabit telah menjalani prosedur pemasangan IUCD oleh seorang Pegawai Perubatan pada 19 Disember 2025 di Klinik Kesihatan Pekan Nanas.

“Bagaimanapun, selepas prosedur tersebut, pesakit dilaporkan mengalami komplikasi dan telah dirujuk ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan lanjut.

JKNJ memandang serius insiden ini, khususnya apabila ia melibatkan keselamatan pesakit dan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan kesihatan kerajaan,” katanya.

Dr. Mokhtar turut memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Siasatan khas telah ditubuhkan bagi meneliti kes tersebut secara menyeluruh, termasuk pematuhan terhadap prosedur serta garis panduan klinikal yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, sebarang tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan hasil siasatan yang kini sedang dijalankan.

Sebelum ini, kisah seorang ibu muda, Nurul Damia Asyiqin Ayub, 27, yang berhasrat untuk memasang alat pencegahan kehamilan (IUCD) bertukar menjadi episod hitam dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kesakitan berpanjangan akibat kesilapan pemasangan alat tersebut di sebuah klinik di Pekan Nenas, akhir tahun lalu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, keputusan memasang IUCD dibuat bagi menjarakkan kehamilan selepas tamat tempoh berpantang melahirkan anak ketiga.

Bagaimanapun, susulan komplikasi dialami, Nurul Damia mendakwa terpaksa menanggung kesakitan yang amat perit sehingga merasakan perutnya seolah-olah mahu terburai sebelum membuat keputusan menjalani pemeriksaan imbasan sinar-X (X-ray) di sebuah klinik swasta di Pekan Nenas.

Pembedahan bagi mengeluarkan peralatan tersebut kemudiannya dilakukan pada 2 Januari lalu.

Menurut pasukan perubatan, apendiks Nurul Damia telah pecah, selain usus besar dan kecil mengalami kecederaan, manakala rahimnya turut bocor serta disahkan tidak lagi boleh melahirkan anak secara normal.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |