Walaupun Hidup Sederhana, Rakyat Indonesia Paling Bahagia – Prabowo

1 day ago 8

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengaku terharu dengan hasil satu tinjauan antarabangsa yang mendapati masyarakat Indonesia merupakan masyarakat paling bahagia di dunia.

Tinjauan tersebut dikeluarkan menerusi Global Flourishing Study (GFS), iaitu kajian kolaboratif melibatkan Universiti Harvard, Universiti Baylor dan firma penyelidikan global, Gallup.

Menurut Prabowo, kajian yang melibatkan hampir 200 negara itu mendapati rakyat Indonesia berada di kedudukan nombor satu sebagai masyarakat yang mengakui diri mereka bahagia.

Artikel berkaitan: Menteri Indonesia Tito Karnavian Mohon Maaf, Tiada Niat Remehkan Bantuan Dari Malaysia Untuk Aceh

Artikel berkaitan: Tak Perasan Mic Masih Terbuka, Tular Rakaman Video Prabowo Minta Bertemu Dengan Anak Trump

“Daripada hampir 200 negara yang disurvei, negara yang rakyatnya apabila ditanya mengaku bahagia adalah Indonesia. Ini sangat mengharukan bagi saya,” katanya.

Bagaimanapun, Prabowo berkata perasaan terharu itu hadir kerana beliau menyedari masih ramai rakyat Indonesia yang menjalani kehidupan serba sederhana dan belum mencapai tahap kesejahteraan sepenuhnya.

“Saya faham sebahagian besar rakyat kita masih hidup dalam keadaan yang sangat sederhana dan belum sejahtera sepenuhnya.

Namun apabila ditanya, mereka tetap mengatakan bahawa mereka bahagia,” ujarnya.

Bekas Menteri Pertahanan itu turut menyatakan bahawa pengakuan rakyat Indonesia mengenai kebahagiaan mereka bukan sahaja membingungkan negara lain, malah menyentuh perasaannya sebagai pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau bertekad untuk bekerja lebih keras bersama barisan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Merah Putih bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh kepimpinannya.

“Disebabkan itu, saya bersama para pembantu saya bekerja dengan sangat keras. Sudah setahun kami menerima amanah daripada rakyat Indonesia dan saya dibantu oleh individu yang saya anggap sebagai putera-puteri terbaik bangsa,” katanya.

Sebagai makluman, kajian Global Flourishing Study menilai kesejahteraan manusia secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata. Konsep flourishing merangkumi keseimbangan kesejahteraan fizikal, mental, moral dan sosial.

Kajian global tersebut melibatkan lebih 200,000 responden dari 23 negara dan wilayah bagi menilai kualiti kehidupan individu.

Hasil kajian menunjukkan Indonesia berada di kedudukan pertama dunia dengan skor purata flourishing sebanyak 8.47 daripada 10, mengatasi Mexico dan Filipina di tempat seterusnya, manakala Jepun mencatatkan skor terendah iaitu 5.93.

Sumber: Kompas, Asia Times

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |