Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy, tampil meluahkan rasa terkilan selepas terlepas pingat gangsa dalam acara men’s vault di Glasgow International Arena akibat peraturan tie-break.
Kekecewaan itu hadir selepas beliau mencatatkan jumlah mata keseluruhan yang sama dengan atlet Cyprus, Neofytos Kyriakou, iaitu 13.733 mata. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Sharul Aimy apabila Kyriakou dinobatkan sebagai pemenang pingat gangsa berdasarkan kelebihan markah tertinggi dalam salah satu daripada dua lompatan yang dilakukan.
Artikel berkaitan: Tular Video Ngeri Terjatuh Ketika Beraksi, Atlet Gimnastik England Kini Stabil
Artikel berkaitan: Kecoh Drama Pergaduhan Atlet Gimnastik US, Ini 5 Permusuhan Dalam Sukan Paling Besar Pernah Berlaku
Kyriakou mengumpul 14.100 mata pada percubaan pertamanya, manakala catatan terbaik Sharul Aimy adalah 13.833 mata pada percubaan kedua. Mengikut regulasi pertandingan, atlet yang terikat mata akan dipisahkan terlebih dahulu menerusi skor individu tertinggi, diikuti dengan markah eksekusi dan kesukaran jika perlu.
Luahan Hati Di Threads Curi Tumpuan
Tidak lama selepas acara berkenaan tamat, Sharul Aimy meluahkan rasa gundah dan kekecewaannya menerusi satu hantaran balasan ringkas di platform Threads (@sharulaimy).
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat dan bangga dengan aksi cemerlang yang ditunjukkannya sepanjang kejohanan.
Bukan sahaja terkilan dengan keputusan markah, Sharul Aimy turut berkongsi kepayahan dan pengorbanan yang dilaluinya sepanjang empat tahun persiapan demi beraksi di Sukan Komanwel 2026.
Beliau mendedahkan pengorbanan fizikal dan mental yang terpaksa ditempuh demi menggalas tanggungjawab kepada negara.
Kemarau 20 Tahun Belum Terlerai
Kegagalan tipis Sharul Aimy ini sekali gus menyaksikan kemarau pingat gimnastik artistik Malaysia di Sukan Komanwel berterusan. Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara ini adalah menerusi legenda gimnastik negara, Ng Shu Wai, yang memenangi pingat perak dalam acara men’s floor exercise di Melbourne pada tahun 2006.
Perjuangan skuad gimnastik negara di Glasgow berakhir tanpa sebarang pingat selepas wakil wanita, Rachel Yeoh, turut berdepan nasib sama apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam acara women’s floor exercise, hanya beza 0.1 mata di belakang pemenang pingat gangsa.
Pingat emas acara men’s vault dimiliki oleh atlet Kanada, Felix Dolci, manakala wakil tuan rumah dari England, Luke Whitehouse, membawa pulang pingat perak.
Sumber: Malay Mail, Threads (1)(2)

18 hours ago
9






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















