Siapa sangka di sebalik kejayaan meraih pingat perak di pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026, atlet boling padang negara, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman sebenarnya sedang hamil lima bulan.
Lebih menyentuh hati, Syafiqa menganggap pingat yang dimenangi bersama gandingannya, Aleena Ahmad Nawawi, bukan sekadar kejayaan peribadi, malah hadiah paling istimewa buat cahaya mata sulung yang sedang dikandung.
Pasangan negara itu berjaya mara ke pentas final acara pasangan wanita sebelum tewas dengan wakil England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor dalam aksi yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC).
Menurut Syafiqa yang kini berusia 32 tahun, perjalanan untuk membawa pulang pingat bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, sokongan daripada keluarga, jurulatih serta suaminya, Nizam Yusof, menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang meskipun sedang berbadan dua.
“Pingat perak ini sangat bermakna kerana kali ini saya mendapat sokongan paling kuat. Perjalanan untuk memenangi pingat ini bukan mudah, jadi Alhamdulillah saya sangat bersyukur.
“Berkat ini juga milik bayi saya. Kehadiran anak dalam kandungan memberi saya kekuatan untuk terus berjuang,” katanya.
Artikel berkaitan: Bawa ‘Sweater’ Arwah Ibu Ke Glasgow, Aznil Bidin Sebak Cipta Sejarah Hatrik Emas Sukan Komanwel
Artikel berkaitan: Hanya Pertandingkan 10 Jenis Sukan, Netizen Tak Puas Hati Sukan Komanwel 2026 Gugur Badminton & Terjun

Syafiqa mendedahkan dia sudah mengetahui dirinya hamil ketika proses pemilihan ke Sukan Komanwel lagi. Bagaimanapun, perkara itu tidak menghalangnya daripada terus mengejar impian untuk mewakili Malaysia di Glasgow.
Katanya, jurulatih juga dimaklumkan mengenai kehamilannya sejak awal dan sentiasa memantau tahap kesihatannya sepanjang sesi latihan serta ketika pertandingan berlangsung.
Malah, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan pagi yang teruk, sekali gus membolehkannya menjalani latihan dan beraksi seperti biasa.
Kejayaan Syafiqa dan Aleena turut mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat kedua Malaysia dalam acara pasangan wanita boling padang di Sukan Komanwel, selepas gandingan Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad menghadiahkan emas di Gold Coast 2018.
Lebih manis, pingat perak ini juga menjadi medal pertama skuad boling padang negara di temasya kali ini.
Sumber: Harian Metro

6 hours ago
4






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















