Tangkap tikus, dapat RM3. Itulah tawaran yang diberikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kepada peniaga di sekitar Pasar Pekan Ampang menerusi Kempen Basmi Tikus yang berlangsung sepanjang Julai ini.
Kempen anjuran MPAJ dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 itu bertujuan menggalakkan penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah penyakit bawaan tikus seperti leptospirosis.
Menurut kenyataan MPAJ, ganjaran wang tunai sebanyak RM3 akan diberikan bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pasar tersebut dan sekitarnya.
“Ganjaran ini bertujuan menggalakkan pembabitan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, bebas daripada pembiakan tikus serta ancaman penyakit,” jelas MPAJ.
Artikel berkaitan: “Lantai berlumut, ada najis tikus” – Dua Kilang Kicap & Sos ‘Legend’ Diarah Tutup
Artikel berkaitan: Penyiasat KKM Temui Peket Racun Tikus Yang Diletakkan Dalam Keropok Dimakan 2 Beradik

Kaunter tuntutan ganjaran dibuka bermula 8 hingga 25 Julai, dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di perkarangan Pasar Pekan Ampang.
Namun, penyertaan hanya dibuka kepada peniaga pasar dan sekitar kawasan berkenaan.
MPAJ turut menegaskan bahawa kempen ini sejajar dengan elemen ketiga dan ke-11 dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu memastikan kesihatan yang baik serta membina bandar dan komuniti yang mampan.
“Inisiatif ini bukan sekadar memberi ganjaran, tetapi bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya menjaga kebersihan untuk kesihatan komuniti,” tambah kenyataan itu lagi.