Kerajaan Singapura meluluskan pindaan undang-undang yang lebih tegas terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape dengan hukuman lebih berat kepada pengguna, penjual serta penyeludup peranti berkenaan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026.
Melalui pindaan Rang Undang-Undang Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) (Pindaan) dan Perkara Lain, Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) 1993 akan dinamakan semula sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Pengewap 1993. Langkah itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap penggunaan vape serta produk baharu seperti KPod yang dilaporkan mengandungi bahan anestetik dikenali sebagai etomidate.

Di bawah undang-undang baharu itu, individu yang didapati menggunakan vape boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 (kira-kira RM30,800), meningkat ketara berbanding denda maksimum S$2,000 sebelum ini. Penjual vape pula boleh dikenakan denda sehingga S$200,000 (sekitar RM616,000) dan berdepan hukuman penjara sehingga enam tahun.
Bagi kesalahan mengimport atau menyeludup vape, pesalah boleh dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori sehingga sembilan tahun serta denda maksimum S$300,000 (kira-kira RM924,000). Individu dewasa yang melibatkan golongan muda atau individu rentan dalam kegiatan penyeludupan atau pembekalan KPod pula boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta 15 sebatan.

Undang-undang tersebut turut mewajibkan premis hiburan seperti kelab malam dan bar untuk memastikan pelanggan tidak menggunakan vape di dalam premis. Selain itu, individu yang memasuki Singapura dengan kenderaan dan didapati memiliki vape tidak lagi boleh menggunakan alasan tidak mengetahui kewujudan peranti tersebut bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Sumber: Astro Awani

3 hours ago
2































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















