doktor kemurungan dibuli senior

Isu buli dalam kalangan petugas sektor kesihatan bukanlah isu baru. Sejak beberapa tahun belakangan ini, ramai yang menyuarakan amalan buli ini perlu dibanteras segera.

Baru-baru ini, Kumpulan Hartal Doktor Kontrak mendedahkan penderitaan mangsa buli iaitu seorang doktor pelatih sehingga mengalami kemurungan.

Menurut kumpulan itu di laman Facebook, individu yang dikenali sebagai Dr S menjadi mangsa buli oleh senior di sebuah hospital di Tawau secara berulang kali.

Artikel berkaitan: Insiden Kematian Doktor Pakar Di Hospital Lahad Datu Bukan Sebab Dibuli – Pasukan Petugas Khas

Artikel berkaitan: “Memberontak tapi mengutamakan pesakit” – [Video] Doktor Kontrak Adakan Protes Di MAEPS

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan bilik doktor pelatih itu berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak terurus.

Selain dinding berkulat, bilik itu turut dipenuhi botol plastik, pelbagai peralatan lain dan tilam serta bantal yang kotor.

“Teruk sungguh beliau dibuli sehingga depresi teruk dan tidak lagi bekerja sebagai seorang houseman sebaliknya hanya berkurung dalam bilik untuk bertahun-tahun.”

Apa yang lebih menyedihkan, si pelaku dikatakan telah berhijrah ke luar negara bagi menjalani program kepakaran.

Justeru, kumpulan itu menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil tindakan lebih serius bagi membantu mangsa buli seperti Dr S.

Kumpulan itu memohon maaf kepada Dr S, keluarganya dan mangsa-mangsa buli lain yang tidak mendapat sokongan sewajarnya sebelum ini kerana kempen #StopWorkplaceBullying baru dilancarkan tiga tahun lalu.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.