1dubai

Sebuah pesawat pejuang Tejas milik India terhempas dan meletup dalam bola api di hadapan para penonton ketika membuat pertunjukan udara di Dubai Airshow pada Jumaat. Insiden tragik itu berlaku ketika pesawat sedang melakukan aksi penerbangan sebelum ia dilihat menjunam dan hilang kawalan, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung yang memenuhi kawasan tontonan.

Screenshot 2025 11 22 at 11.09.20 AM

Rakaman di lokasi menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang dari kawasan landasan berpagar. Pasukan bomba Dubai bertungkus-lumus memadamkan sisa kebakaran pada serpihan pesawat. Menurut saksi, pesawat tersebut hanya berada di udara selama beberapa minit sebelum ia menjunam secara tiba-tiba dan merempuh tanah, menghasilkan beberapa letupan kecil ketika impak.

Pihak Tentera Udara India (IAF) mengesahkan bahawa juruterbang yang mengendalikan pesawat berkenaan telah terkorban dalam nahas tersebut. Beliau merupakan satu-satunya individu di dalam pesawat berkenaan. IAF dalam kenyataan memaklumkan bahawa satu lembaga siasatan sedang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian, sementara pihak berkuasa UAE juga dijangka akan terlibat dalam siasatan bersama.

Screenshot 2025 11 22 at 11.09.08 AM

Pesawat Tejas yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics itu merupakan pesawat tempur ringan generasi 4.5 yang dianggap penting dalam usaha India memodenkan armada tenteranya. Nahas di Dubai ini merupakan kejadian kedua melibatkan model pesawat sama, selepas insiden pertama yang berlaku di India pada 2024.

Insiden berlaku pada hari terakhir pameran udara terbesar di Timur Tengah itu, namun aktiviti penerbangan dilaporkan bersambung semula selepas kawasan kejadian diisytihar selamat. Sementara penyiasatan sedang dijalankan, syarikat GE yang membekalkan enjin pesawat menyatakan kesediaan untuk membantu, manakala kerajaan Dubai mengesahkan pasukan kecemasan telah mengawal keadaan sepenuhnya di lokasi nahas.

Sumber: Channel News Asia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.