2dadah

Seorang warga Malaysia yang didakwa sebagai anggota Sindiket Dadah Antarabangsa Sam Gor dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan dalam kes penyeludupan dadah bernilai kira-kira RM840 juta. Mahkamah Wilayah Cawangan 98 di Bandar Olongapo memutuskan bahawa tertuduh, Kong Ket Koon, bersalah atas kesalahan memiliki dadah berbahaya di bawah undang-undang antidadah Filipina.

Kong ditahan pada 20 Jun 2025 setelah kapal nelayannya, F/B Christeve, dikesan membawa 1.48 juta gram syabu dengan nilai keseluruhan mencecah RM840 juta ketika berada di perairan Calapandayan, Subic serta beberapa kawasan di Zambales. Kes itu dianggap antara rampasan terbesar dalam operasi maritim Filipina.

Screenshot 2025 11 22 at 11.20.51 AM

Selain hukuman penjara seumur hidup, Kong turut diarahkan membayar denda sebanyak RM840,000 dan boleh dikenakan tambahan hukuman penjara sekiranya gagal melunaskan bayaran tersebut. Mahkamah turut memerintahkan bot nelayan yang digunakan dalam operasi penyeludupan itu dilucut hak kepada kerajaan Filipina.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA), sindiket Sam Gor yang dikaitkan dengan tertuduh merupakan kartel dadah yang pernah terlibat dalam beberapa insiden terdahulu, termasuk penemuan bertan-tan syabu terapung di perairan Bataan, Batanes, Cagayan, Ilocos Norte, Ilocos Sur dan Pangasinan. Kartel itu dianggap antara rangkaian penyeludupan dadah paling berpengaruh di rantau ini.

Pihak berkuasa Filipina menyifatkan kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan ini sebagai kemenangan besar dalam perang menentang sindiket antarabangsa. Ketua Pengarah PDEA, Isagani Nerez, berkata penyelesaian kes dalam tempoh lima bulan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa sistem keadilan negara itu berfungsi dengan tegas dan berintegriti dalam melindungi komuniti daripada ancaman dadah.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.