“Selalu ada untuk memberi nasihat” – Tun Siti Hasmah Genap 99 Tahun, Marina Luah Bangga Jadi Anak Wanita Berprinsip

4 days ago 22

Selepas rakyat Malaysia meraikan ulang tahun ke-100 bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dua hari lalu, hari ini tibalah giliran isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut ulang tahun kelahiran ke-99.

Dalam satu hantaran di Facebook, anak mereka Marina Mahathir berkongsi penghargaan dan rasa kasih yang mendalam terhadap ibunya yang bukan sahaja penyayang malah menjadi contoh ketabahan seorang wanita dalam hidupnya.

Marina menyifatkan Tun Siti Hasmah sebagai seorang wanita yang sentiasa berdiri teguh bersama ayahnya dalam semua keadaan namun tetap mengekalkan identiti sendiri sebagai seorang individu yang berdikari dan berprinsip.

“Mak sentiasa bersama ayah dalam susah dan senang tanpa perlu menukar identiti diri,” katanya.

Artikel berkaitan: Seabad Tun Dr Mahathir, “Throwback” Detik Manis Dalam Pembangunan Malaysia

Artikel berkaitan: Tun Mahathir Buat Kejutan, Tampil Sebagai Penonton Di Sambutan Hari Kemerdekaan

siti hasmahAntara gambar menarik yang dikongsikan Marina di laman Facebooknya, hari ini.

Marina berkata, ibunya terus bekerja sepanjang hidup sehingga bersara, walaupun dalam masa yang sama membesarkan keluarga dan menyokong kerjaya suami sebagai Perdana Menteri.

Marina turut berkongsi detik menarik apabila ibunya enggan berpindah rumah selepas ayahnya kembali memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua.

Sebagai seorang ibu, Tun Siti Hasmah sangat menitikberatkan soal pendidikan ketika anak-anak masih kecil.

Namun apabila mereka dewasa, kata Marina, ibunya memberi ruang kepada anak-anak untuk membuat pilihan sendiri dalam hidup termasuk dalam hal jodoh dan kerjaya.

“Tapi mak selalu ada untuk kami meminta nasihat,” katanya.

Walaupun fizikalnya kini lebih lemah berbanding dahulu, semangat Tun Siti Hasmah masih segar.

Beliau masih bermain piano dan biola hampir setiap hari malah kini sedang mencuba belajar bahasa Jepun.

Sebelum ini, pada usia 70-an, beliau belajar bahasa Perancis semata-mata untuk berkomunikasi dengan besan yang tidak boleh berbahasa Inggeris.

Marina menamatkan catatannya dengan ucapan syukur dan cinta kepada maknya atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama ini.

“Saya sayang mak. Semoga mak sentiasa sihat, kuat dan bahagia. Semoga senyuman mak terus menerangi hidup kami.”

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |