Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah memperkenalkan Program KasihnlTa, sebuah inisiatif komprehensif yang bertujuan untuk memperkasa ibu tunggal di Malaysia.
Program ini dirangka untuk melahirkan ibu tunggal yang berdikari, berdaya saing, dan mampu menghadapi pelbagai cabaran hidup dengan lebih yakin.
Pelancaran rasmi Program KasihnlTa 2025 baru-baru ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan komitmen kerajaan dalam mengangkat martabat wanita. Inisiatif ini selaras dengan matlamat dan kerangka Dasar Wanita Negara (DWN) serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030, yang berfokus kepada usaha mendaya upaya dan memperkasa golongan wanita.
Pendekatan Holistik dalam Pemerkasaan Ibu Tunggal
Berbeza daripada program berbentuk bantuan kewangan, KasihnlTa merupakan sebuah program inisiatif reformasi yang menawarkan tiga aspek utama sebagai solusi praktikal kepada ibu tunggal. Aspek-aspek tersebut meliputi:
- Modul Kemahiran Perundangan: Modul ini memberi pendedahan kepada ibu tunggal mengenai hak-hak mereka selepas perceraian atau perpisahan, termasuk tuntutan hadhanah, harta sepencarian, fasakh/cerai, dan nafkah anak. Peserta turut berpeluang mendaftar dengan Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) untuk membantu mengendalikan kes di mahkamah.
- Modul Pengurusan Kewangan: Ibu tunggal akan dilatih untuk meningkatkan pendapatan dan tingkah laku kewangan yang lebih baik, serta keupayaan dalam perancangan dan pengurusan kewangan. Peserta yang layak juga didaftarkan di bawah Program Pengurusan Kredit dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
- Modul Pembangunan Potensi: Modul ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi, keyakinan diri, dan keupayaan ibu tunggal untuk berdikari. Ia juga menggalakkan ibu tunggal menjadi lebih berdaya saing dan berperanan sebagai agen perubahan dalam komuniti.
Latar Belakang dan Impak Program
Program ini mula dilaksanakan secara rintis pada tahun 2023 di Lembah Klang dengan nama PROKIT, melibatkan 300 orang peserta ibu tunggal. Pada tahun 2024, PROKIT diperluaskan secara berfokus kepada 300 ibu tunggal di Sarawak.
Berikutan kesungguhan dan hasil program yang memberangsangkan, Kerajaan melalui Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta untuk pelaksanaan program ini di seluruh negara, dengan sasaran 1,500 ibu tunggal meliputi enam zon utama: utara, timur, tengah, selatan, Sabah, dan Sarawak.
Nama PROKIT kemudiannya dijenamakan semula kepada KasihnlTa, bagi memberi nilai dan makna yang lebih mendalam, iaitu “kasih kepada wanita dan ibu tunggal”.
Impak KasihnlTa diukur melalui kejayaan ibu tunggal dalam membuat tuntutan perundangan, peningkatan pendapatan dan tingkah laku kewangan yang lebih baik, serta kejelasan potensi diri dan matlamat hidup.
Kriteria Kelayakan dan Tempoh Pelaksanaan
Kriteria kelayakan untuk menyertai program ini adalah seorang ibu tunggal, warganegara Malaysia, dan menghadapi masalah berkaitan kewangan, perundangan, atau potensi diri. Program ini mengambil masa sehingga enam bulan, merangkumi fasa advokasi, pembangunan, dan pementoran.
Program KasihnlTa tahun 2025 akan dilaksanakan secara berfasa mengikut zon bermula Ogos sehingga Disember. Ia mendapat kerjasama tenaga pakar berpengalaman daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dan Pakar Psikologi Jiwa Damai. Permohonan pendaftaran telah dibuka pada 16 Mei 2025 dan akan ditutup pada 31 Julai 2025.
KPWKM melihat peranan ibu tunggal sebagai sangat penting dan strategik dalam pembangunan masyarakat dan negara. Mereka adalah pemangkin kesejahteraan keluarga, ejen pembangunan sosial, dan penyumbang kepada ekonomi negara melalui penyertaan dalam tenaga kerja. Melalui KasihnlTa, ibu tunggal akan terus diperkasa untuk menjadi modal insan yang berdaya tahan, berpendidikan, dan bermoral tinggi