Usaha mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines Flight MH370 yang hilang sejak 2014 masih belum menemui sebarang petunjuk baharu walaupun operasi pencarian terkini dijalankan di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi.
Kementerian Pengangkutan Malaysia memaklumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan laut dalam Ocean Infinity pada 25 Mac 2025 bagi melaksanakan operasi pencarian dasar laut di kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi. Operasi itu dijalankan berasaskan prinsip “no find, no fee”, iaitu bayaran hanya dibuat sekiranya bangkai pesawat berjaya ditemui.

Operasi pencarian tersebut dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu dari 25 hingga 28 Mac 2025 bagi fasa pertama, manakala fasa kedua berlangsung antara 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 28 hari operasi dijalankan yang melibatkan tinjauan sekitar 7,571 kilometer persegi dasar laut dalam kawasan pencarian yang telah ditetapkan.
Menurut kementerian itu, operasi berkenaan turut berdepan beberapa gangguan akibat keadaan cuaca serta laut yang tidak menentu. Walaupun usaha dijalankan secara intensif menggunakan teknologi penerokaan dasar laut, setakat ini tiada penemuan yang dapat mengesahkan lokasi sebenar bangkai pesawat tersebut.

Sehubungan itu, pihak kementerian melalui Air Accident Investigation Bureau Malaysia menzahirkan penghargaan kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang terus menunggu jawapan mengenai tragedi berkenaan. Kerajaan memberi jaminan akan terus memaklumkan sebarang perkembangan baharu kepada keluarga mangsa serta meminta mereka kekal tabah sementara usaha pencarian dan siasatan diteruskan.
Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia

1 day ago
10































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















