Sanusi Berlakon Filem The Keris

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencuri tumpuan apabila dilaporkan membuat kemunculan khas sebagai pelakon menerusi sebuah filem yang berjudul ‘The Keris’.

Dalam hantaran Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA, penglibatannya dalam filem itu bertujuan menyuntik semangat kepada generasi muda khususnya yang terlibat dalam seni silat.

Katanya, beliau membawakan watak seorang panglima yang memberi semangat kepada kumpulan pesilat dalam sebuah pertarungan yang turut mengangkat elemen kepahlawanan Melayu.

“Ini pengalaman baru dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.

“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak-anak muda yang terlibat dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya.

672675390 2386548695192047 2772111617427677127 N

Menurutnya lagi, filem berkenaan mengadaptasi perjuangan Laksamana Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu ulung Nusantara dan diharap mampu memartabatkan seni serta budaya Melayu.

Artikel berkaitan: Menteri Besar Kedah Menang Saman, Saifuddin Diarah Bayar RM670,000

Artikel berkaitan: Lelaki ‘Bersilat’ Di Tanah Perkuburan Islam Kluang Tular, Pejabat Kadi Diminta Siasat

Mengulas pengalaman pertamanya berlakon, Muhammad Sanusi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penghayatan watak yang mendalam.

Beliau menerima tawaran itu kerana watak yang diterima seiring dengan minatnya untuk mengangkat seni dan budaya Melayu, khususnya seni silat.

Berlakon secara percuma

ADUN Jeneri itu turut menambah, penampilannya dalam filem tersebut dilakukan tanpa sebarang bayaran.

“Ini percuma sahaja, tiada bayaran, sekadar cuba-cuba,” seloroh Sanusi.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya ditawarkan watak yang bersesuaian.

“Kalau ada skrip dan watak yang baik, saya sedia pertimbangkan,” katanya.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.