Nak Pergi Mana Sempena Cuti Wilayah Persekutuan? Ini 7 Tempat Menarik Korang Boleh Lawat Di Sekitar Kuala Lumpur!

4 days ago 25

Bagi yang bekerja dan tinggal di sekitar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, korang pasti dapat merasa cuti umum selama dua hari berturut-turut pada minggu hadapan iaitu hari Isnin dan Selasa sempena cuti umum Hari Thaipusam dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Secara tak langsung, kebanyakan kita berpeluang untuk menikmati cuti selama empat hari. Tapi, macam rugi pula kan kalau cuti tersebut hanya dihabiskan di rumah semata-mata. Jadi, inilah masanya untuk korang keluar dan jelajah kawasan-kawasan menarik di sekitar bandar Kuala Lumpur!

Berikut adalah senarai lokasi menarik yang korang boleh lawati sepanjang waktu cuti nanti.

Artikel Berkaitan: 5 Sebab Malaysia Berjaya Tandingi Thailand Sebagai Destinasi Paling Ramai Pelancong Di Asia Tenggara – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Rupanya Ah Beng & Liang Po Po Tak Berlawan, Tapi Bergabung Dalam Satu Filem Untuk Tahun Baru Cina Nanti – Lobak Merah

1. Taman Burung Kuala Lumpur 

Taman Burung Kl

Korang tahu tak yang Taman Burung Kuala Lumpur ni antara yang terbesar di dunia? Di sinilah peluang korang untuk dapat lihat pelbagai jenis habitat burung-burung yang eksotik daripada seluruh dunia.

Sejak ia ditubuhkan, Taman Burung Kuala Lumpur ini merupakan antara destinasi ekopelancongan yang popular di Kuala Lumpur. Berlokasi di kawasan Taman Tasik Perdana yang tenang dan taman seluas 20.9 ekar, taman ini terletak hanya sekitar 10 minit pemanduan dari pusat bandar.

Di taman ini juga, korang berpeluang untuk melihat 3,000 ekor burung daripada kira-kira 200 spesies tempatan dan luar negara.

Selain itu, taman ini beroperasi setiap hari, termasuk cuti umum dan cuti sekolah dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Kadar tiket pula berbeza mengikut kategori pengunjung dengan harga istimewa ditawarkan kepada warganegara Malaysia berbanding bukan warganegara.

2. Taman Orkid Kuala Lumpur

Bagi yang suka bunga atau pencinta alam sekitar yang berwarna-warni, mungkin Taman Orkid Kuala Lumpur boleh jadi destinasi yang korang wajib datang.

Taman ini juga terletak berhampiran dengan Taman Burung Kuala Lumpur, menjadikan kedua-dua taman ini mudah untuk korang lawati pada hari yang sama.

Selain itu, taman ini menempatkan lebih 3,000 jenis pokok orkid yang disusun menarik dan cantik. Macam sesuai kan kalau dijadikan sebagai spot bergambar OOTD atau lokasi korang nak dating?

Andai kata ada yang berminat untuk mencari orkid segar, taman ini juga berfungsi sebagai pusat jualan orkid segar pada hujung minggu. Jadi, hujung minggu ni adalah waktu yang terbaik untuk korang datang melawat Taman Orkid Kuala Lumpur bersama keluarga mahupun pasangan tercinta.

3. Carcosa Seri Negara 

Seri Negara

Seri Negara, sebuah rumah agam era kolonial yang gah buat pertama kalinya kini dibuka untuk pengunjung luar. Rumah ini dibina pada tahun 1913 yang mana suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai Rumah Raja atau The King’s House yang kemudiannya menjadi kediaman buat Pesuruhjaya Tinggi British serta tetamu rasmi bagi tetamu kenamaan, termasuk Ratu Elizabeth II.

Selain nilai sejarah rumah ini, Seri Negara pernah muncul dalam filem Hollywood bertajuk Crazy Rich Asians sebagai rumah warisan keluarga Young yang mewah. Pada waktu itu, rumah agam ini belum dibuka untuk lawatan awam sebab kos penyelenggaraan yang sangat tinggi.

Seri Negara ini juga terletak tidak jauh dari Taman Burung Kuala Lumpur dan Taman Orkid Kuala Lumpur, namun lawatan galeri seni ini perlu membuat tempahan secara dalam talian di laman rasminya.

Tapi kalau korang cuma mahu bersantai dan lawat dari luar sahaja, Semuka Cafe sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung tanpa perlu membuat sebarang tempahan pun.

4. Muzium Tekstil Negara 

Muzium Tekstil Negara

Muzium Tekstil Negara ini terletak di sebuah bangunan bersejarah berhampiran dengan Dataran Merdeka yang menampilkan seni bina Mughal, iaitu gabungan pengaruh seni bina Turki, Parsi, Asia Selatan dan Islam.

Bangunan ini disiap dibina pada tahun 1905 dan pernah berfungsi sebagai ibu pejabat Keretapi Persekutuan Tanah Melayu sebelum dijadikan sebagai Muzium Tekstil Negara pada tahun 2010.

Muzium ini terbahagi kepada dua tingkat dan menempatkan empat utama seperti Galeri Pohon Budi, Galeri Pelangi, Galeri Teluk Berantai dan Galeri Ratna Sari. Setiap galeri ini mempamerkan keunikan tekstil Malaysia, termasuk teknik pembuatan tekstil tradisional, koleksi batik, songket, motif tekstil Melayu serta aksesori dan perhiasan tradisional daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Menariknya, kemasukan ke muzium ini adalah percuma dan muzium ini cuma ditutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sahaja.

5. Muzium Bank Negara & Galeri Seni 

Muzium Bank Negara

Di Muzium Bank Negara Malaysia dan Galeri Seni ini, korang berpeluang untuk belajar pelbagai ilmu mengenai ekonomi negara serta sejarah kewangan Malaysia. Muzium ini juga mempamerkan info tentang perbankan Islam dan menampilkan hasil seni kontemporari yang menarik.

Muzium ini terbahagi kepada enam galeri utama iaitu Galeri Kanak-Kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Perbankan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni. Setiap galeri ini menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik, jadi korang boleh belajar dengan cara yang menyeronokkan tanpa rasa bosan.

Lawatan ke muzium ini antara cara yang paling sesuai untuk mengisi masa bersama keluarga terutamanya bagi yang ada anak kecil untuk mereka menimba ilmu. Kemasukannya pun percuma, jadi korang tunggu apa lagi?

6. Hutan Simpan Bukit Nanas

Hutan Simpan Bukit Nanas

Kalau sebelum ini, kita lebih kenal dengan Taman Negara dan hutan-hutan lain, kali ini kita diperkenalkan dengan Hutan Simpan Bukit Nanas pula.

Hutan ini adalah satu-satunya hutan asli jenis Dipterokarp Pamah yang masih dipelihara di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur selain ia dikenali sebagai hutan simpan tertua di Semenanjung Malaysia.

Keunikan hutan simpan yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur ini secara langsung menjadikannya ibarat jantung penting buat kawasan bandar raya.

Sepanjang laluan yang dikhaskan dalam hutan ini, korang boleh bersiar-siar sambil belajar tentang pokok-pokok yang lengkap dengan papan info menarik sepanjang denai. Terdapat tiga denai dengan interpretasi yang berbeza iaitu Denai Arboretum, Denai Penarahan dan Denai Merbau-Jelutong.

Hutan Simpan Bukit Nanas ini dibuka setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang termasuk hujung minggu dan cuti umum dengan kemasukan percuma.

7. Galeri Petronas, KLCC

Galeri Petronas

Korang sedar tak sebenarnya dalam pusat membeli-belah Suria KLCC ada satu galeri yang tersorok di tingkat 3?

Secara kebiasaannya, Galeri Petronas ini sentiasa menampilkan pameran dengan tema yang berbeza-beza dan kali ini mereka membawa tema yang bertajuk “What Song Do You Hear When You See This Painting?“, yang mana seni visual dipadankan dengan muzik.

Korang sebagai pengunjung boleh membayangkan sendiri lagu yang bersesuaian dengan karya seni yang dipamerkan, menjadikan tema yang dibawa oleh galeri ini lebih interaktif dan menyeronokkan berbanding tema-tema yang sebelumnya.

Buat masa ini, galeri ini masih berada di lokasi asalnya, namun ia dijangka akan berpindah ke Ombak KLCC tidak lama lagi, menurut portal Options. Jadi, pastikan korang jangan lepaskan peluang untuk melawat galeri ini sebelum ia berpindah pada bulan Jun nanti.

Galeri ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang setiap hari Selasa hingga Jumaat, manakala pada hujung minggu pula ia akan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 6.30 petang.

Sumber: Mai Singgah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |