Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini melakar sejarah dengan pelancaran Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen, sebuah rangka kerja strategik yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk memperkukuh penyertaan tenaga kerja inklusif.
Inisiatif ini diperkukuhkan lagi melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan United Nations Development Programme (UNDP) bagi memantapkan model intervensi melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik global.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan menegaskan bahawa golongan neurodivergen yang merangkumi individu dengan perbezaan pembelajaran dan pemprosesan maklumat tidak harus dilihat sekadar sebagai sebahagian daripada komuniti OKU.
“Mereka adalah aset bakat negara yang memiliki potensi unik, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti teknologi, analitik, dan inovasi” – Khairul Firdaus
Statistik semasa menunjukkan terdapat 333,474 individu OKU pembelajaran di Malaysia, dengan 5,482 pencari kerja neurodivergen telah berdaftar di portal MYFutureJobs.
Kegagalan mengoptimumkan potensi ini, menurut laporan Global Disability Inclusion Report 2025, boleh menyebabkan kerugian produktiviti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Peralihan Model Proaktif dan Berasaskan Data
Pengerusi Lembaga PERKESO, Yang Berbahagia Dato’ Sri Subahan Kamal, menyatakan bahawa PERKESO kini beralih daripada model reaktif kepada pendekatan proaktif yang berpaksikan pemerkasaan (empowerment).

Garis panduan baharu ini akan memfokuskan kepada beberapa teras utama:
-
Pemadanan Kerja Berasaskan Data: Memanfaatkan platform MYFutureJobs untuk ketepatan profil kekuatan unik individu.
-
Intervensi Bersasar: Memperkasa sokongan melalui job coaching, penilaian keupayaan, dan program Return to Work (RTW).
-
Libat Urus Majikan: Kolaborasi bersama lebih 70 majikan utama termasuk Petronas, Gamuda, Shell, dan Touch ‘n Go bagi memupuk budaya kerja mesra neurodivergen.
-
Garis Panduan Berasaskan Bukti: Pembangunan panduan sistematik hasil kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sementara itu, MoU bersama UNDP mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam membentuk “core triangle” yang menggabungkan pendidikan berkualiti (SDG 4), pekerjaan munasabah (SDG 8), dan pengurangan ketidaksamaan (SDG 10).
Artikel berkaitan : Ribuan Hilang Kerja Dalam Masa Singkat, KESUMA Sedia Umum Bantuan Baharu
Artikel berkaitan : Caruman 15 Tahun Di PERKESO Jadi ‘Talian Hayat’ Waris Mangsa Pemandu M*buk
Datuk Khairul Firdaus turut memetik kejayaan ikon neurodivergen tempatan seperti pelukis Artjamila dan pelajar PhD UIAM, Nur Arif bin Jasmin, sebagai bukti bahawa golongan ini mampu mencapai kecemerlangan akademik dan profesional jika diberikan sokongan yang betul.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO tekad memastikan garis panduan ini menjadi penanda aras kebangsaan bagi memastikan golongan neurodivergen bukan sahaja memperoleh pekerjaan, tetapi mendapat gaji yang setimpal dan laluan kerjaya yang stabil.

2 hours ago
6






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















