Polis mengesahkan wujud kegiatan tidak bermoral dalam program motivasi rumah tangga eHati yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, pada tahun lalu.
Menurut laporan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati adegan itu merupakan sebahagian daripada acara program yang dikenali sebagai ‘Queens Night’.
“Pada majlis itu, memang ada kegiatan bogel yang dilakukan oleh empat individu. Acara itu dipanggil sebagai ‘queens night’ yang dilakukan pada malam terakhir program berkenaan.
“Siasatan mendapati aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program berkenaan,” katanya.
Artikel berkaitan: Aktivis Dedah Perbuatan Jelik Pengetua Sekolah Agama & Isteri Yang Juga ‘Cleopatra’ eHati
Artikel berkaitan: “Ada yang end up cerai” – Bekas Pekerja & Suami Bekas Peserta Kongsi ‘Modus Operandi’ e-Hati
Katanya, pihaknya masih melakukan siasatan sama ada terdapat individu lelaki hadir pada acara itu.
Polis rampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam program
Beliau turut mendedahkan program terbabit menawarkan dua pakej iaitu Pakej A berharga sekitar RM6,000 manakala Pakej B berharga sekitar RM9,000.
“Pakej B mempunyai tambahan program yang dikenali sebagai ‘queens night’, aktiviti bogel itu juga dipanggil sebagai ‘rebirth’.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair yang digunakan sebagai minuman pada majlis itu,” katanya.
Ada peserta dari kalangan penjawat awam
Mengulas lanjut, polis juga mengesan terdapat penglibatan dari kalangan penjawat awam dan golongan profesional yang menjadi peserta dalam program motivasi terbabit.
Tengah hari tadi, pengasas yang terdiri daripada pasangan suami isteri serta empat lagi individu direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sumber: Harian Metro