Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kecerdasan buatan (AI) Grok untuk pengguna di Malaysia berkuat kuasa 11 Januari 2026, susulan kegagalan platform itu melaksanakan langkah perlindungan yang berkesan.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut diambil selepas Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.
“Tindakan ini diambil susulan penyalahgunaan Grok yang berulang kali walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada pihak berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Artikel berkaitan: Sebar Kandungan Memudaratkan, MCMC Bakal Ambil Tindakan Sivil Terhadap Edisi Siasat & Edisi Khas
Artikel berkaitan: Jual Video Adegan L*cah Sendiri Hingga Raih RM3K Sebulan, MCMC Kesan Pelajar IPTA
Menurut MCMC, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada X Corp. dan xAI LLC masing-masing pada 3 dan 8 Januari 2026 bagi menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta penyeliaan kandungan yang lebih berkesan.
“Langkah tersebut bertujuan mencegah kandungan janaan AI yang berpotensi melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
GrokBagaimanapun, MCMC memaklumkan maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 dan 9 Januari 2026 hanya tertumpu kepada mekanisme pelaporan oleh pengguna, tanpa menangani risiko sedia ada yang berpunca daripada reka bentuk serta pengoperasian alat AI tersebut.
“Pendekatan yang bergantung sepenuhnya kepada laporan pengguna adalah tidak mencukupi dan gagal mengurangkan risiko kandungan berbahaya yang boleh dihasilkan secara sistematik,” jelas kenyataan itu lagi.
MCMC menegaskan, keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang tempatan kekal sebagai keutamaan, dan sebarang platform digital yang beroperasi di Malaysia perlu bertanggungjawab memastikan teknologi mereka tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan keharmonian serta keselamatan masyarakat.
Sumber: MCMC

12 hours ago
5






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















