lelaki sembur cat pada monyet

Seorang lelaki yang ditahan kerana menyembur cat ke arah seekor monyet dalam sangkar di Taman Desa Moccis, U17, Shah Alam mendakwa melakukan perbuatan itu kerana mahu menakutkan haiwan berkenaan yang sering mengganggu kawasan perumahannya.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata lelaki terbabit mendakwa tindakan itu juga untuk menghalau dan menakutkan monyet lain.

Katanya, lelaki berkenaan yang ditahan kelmarin sudah pun dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas pihaknya selesai mengambil keterangan.

Artikel berkaitan: Seorang Individu Ditahan, Didakwa Sembur Cat Pada Monyet Dalam Sangkar

Artikel berkaitan: Tindakan Pemuda Masukkan Racun Ke Dalam Aiskrim Untuk ‘Halau’ Monyet Dikecam

“Ketika pegawai kami ke lokasi, haiwan berkenaan sudah tiada dan berdasarkan maklumat, individu terbabit melepaskan monyet itu selepas disembur (cat),” katanya.

553 1

Wan Adib berkata kawasan perumahan itu berdepan dengan gangguan monyet dan pihaknya turut menerima aduan serta tindakan sudah diambil dan dilakukan secara berterusan.

Pun begitu, Perhilitan menegaskan tindakan individu terbabit adalah tidak wajar dan ia menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas dilengkapkan.

Sementara itu, Perhilitan menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam berdepan isu berkaitan hidupan liar terutamanya menzalimi haiwan, sebaliknya membuat aduan kepada pihaknya.

Terdahulu, tular video seorang lelaki menyembur cat ke arah monyet di dalam sangkar yang mencetuskan kemarahan netizen dan pencinta haiwan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.